Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP pemulihan mulai 10 Jun, pelbagai kegiatan dibenarkan
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 3:24 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 10 Jun ini hingga 31 Ogos.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini, Muhyiddin berkata Malaysia kini memasuki fasa pemulihan dan menerusi PKPP, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada orang ramai dalam menjalani kegiatan seharian.

Beliau berkata PKPP adalah sebahagian daripada strategi keluar daripada PKP yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti dengan PKPB sejak 4 Mei 2020.

Muhyiddin berkata, sejak pelaksanaan PKP dan PKPB penularan Covid-19 di Malaysia kian menurun, dengan kadar jangkitan di kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal.

"Banyak kawalan dikenakan ke atas saudara dan saudari. Itu tak boleh, ini tak boleh.

"Namun saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan anda buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini. Saya tahu anda juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran dengan syarat anda sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baru dan mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Ini merupakan pelonggaran PKP kedua yang diumumkan kerajaan, selepas PKPB yang bermula pada 4 Mei lalu.

Dengan penguatkuasaan PKPP, hampir semua kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


PKPP: Apa yang dibenarkan dan apa yang masih dilarang?


Waktu operasi perniagaan juga akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan kebiasaan baru seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan pembersih tangan di premis, katanya lagi.

Kegiatan komersial bukan dalam premis perniagaan serta kegiatan sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan sentuhan juga dibenarkan.

Bagaimanapun pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penonton yang ramai di stadium atau tempat acara lain masih dilarang.

Bagi pelancongan, kegiatan pelancongan dalam negeri dibenarkan, manakala sempadan negara masih ditutup bagi pelancongan luar negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa orang ramai agar terus berdisiplin dalam mematuhi langkah keselamatan agar wabak Covid-19 kekal terkawal.

"Kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui. 

"Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan," katanya lagi.


Lihat Komen
ADS