Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPP: Apa yang dibenarkan dan apa yang masih dilarang?
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 4:08 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan sejumlah pelonggaran peraturan yang akan berkuat kuasa mulai 10 Jun di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), setelah hampir tiga bulan peraturan ketat untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Berikut adalah senarai aktiviti yang akan dibenarkan bermula 10 Jun.

1) Perjalanan rentas negeri

Perjalanan rentas negeri yang dilarang sejak 18 Mac (kecuali untuk kes tertentu) kini akan dibenarkan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata larangan masih dikenakan terhadap kawasan yang dinyatakan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Jelasnya, orang ramai kini boleh pulang ke rumah untuk mengunjungi ibu bapa mereka tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana warga tua lebih terdedah kepada Covid-19.

2) Pelbagai perniagaan dibuka semula

Beberapa perniagaan yang masih ditutup walaupun peraturan dilonggarkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu juga akan diizinkan untuk dibuka semula secara berperingkat mulai 18 Jun, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

Ini termasuk kedai gunting rambut, salun kecantikan, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, bazar, medan selera, gerai penjaja, gerai dan trak makanan dan perkhidmatan dobi layan diri.

3) Mesyuarat

Di bawah PKPP, mesyuarat dan bengkel akan dibenarkan. Bagaimanapun, protokol kesihatan mesti dipatuhi dan memastikan ruang optimum antara peserta.

4) Aktiviti rekreasi

Lawatan ke muzium akan dibenarkan kerana premis ini akan dibuka semula.

Aktiviti rekreasi memancing, termasuk di kolam komersial, juga akan dibenarkan.

Begitu juga, indoor basking atau persembahan dalam dewan turut dibenarkan.

Semua aktiviti itu perlu mematuhi protokol kesihatan.

5) Aktiviti sukan

Sukan berkumpulan akan dibenarkan untuk beroperasi semula selagi sukan itu tidak melibatkan sentuhan badan. Antara yang dibenarkan ialah boling, badminton, memanah, menembak dan sukan lain yang serupa.

Aktiviti berkumpulan seperti konvoi basikal dan motosikal juga akan dibenarkan.

Bagaimanapun, sukan yang melibatkan penyokong dan penonton berkumpul di stadium dan kolam renang masih tidak dibenarkan.

Aktiviti yang masih tidak dibenarkan termasuk ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

6) Pelancongan domestik

Rakyat Malaysia akan dibenarkan mengunjungi tempat-tempat pelancongan di dalam negara tetapi digalakkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, perjalanan ke luar negara masih tidak dibenarkan kerana sempadan ditutup.

7) Perayaan

Perayaan seterusnya yang akan diadakan ialah Hari Raya Aidiladha pada 30 Julai.

Semasa perayaan ini, Muhyiddin berkata upacara korban akan dibenarkan. Bagaimanapun, SOP untuk upacara seperti itu hanya akan diperincikan kemudian oleh pihak berkuasa agama.

8) Solat berjemaah

Lebih ramai orang akan dibenarkan berada di tempat ibadat Muslim dan bukan Muslim.

Sebelum ini, jumlah maksimum yang ketat dikenakan tanpa mengira keluasan tempat ibadat itu.

Sebelum pengumuman Muhyiddin, Menteri Pertahanan Ismail Sabri memaklumkan bahawa keluasan sesuatu tempat ibadat akan diambil kira bagi menentukan kapasiti jemaah.

Tempat ibadat yang lebih besar yang dapat memastikan jarak sosial yang lebih baik akan dibenarkan lebih banyak orang.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata perinciannya hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.

9) Sekolah dibuka semula

Muhyiddin berkata sekolah akan dibuka semula semasa tempoh PKPP tetapi tiada garis masa tertentu diberikan setakat ini.

Tempoh PKPP adalah antara 10 Jun hingga 31 Ogos.

Muhyiddin berkata sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh ini setelah berunding dengan Kementerian Kesihatan.

Kementerian Pendidikan dijangka mengumumkan perincian dalam waktu dekat.

10) Hiburan

Industri filem akan diizinkan untuk beroperasi semula, terutama untuk penggambaran filem. Bagaimanapun, pelbagai jenis hiburan lain masih tidak dibenarkan beroperasi.Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke dan taman tema.

11) Masih tiada perhimpunan besar-besaran

Perhimpunan besar-besaran, selain dari tempat-tempat ibadat yang mesti mematuhi garis panduan, masih tidak dibenarkan.

Ini termasuk perarakan keagamaan, kenduri dan rumah terbuka.

Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia untuk mengamalkan kebiasaan baru dengan selalu mencuci tangan, memakai topeng muka dan menggunakan pembersih tangan.

Muhyiddin juga memberi amaran bahawa negara mungkin akan kembali ke fasa PKP sebelumnya yang lebih ketat jika orang ramai tidak mematuhi peraturan dan terdapat lonjakan kes Covid-19.


Lihat Komen
ADS