Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PN sedia hadapi PRU15? Itu hanya keyakinan PAS - Khaled

Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) masih belum menyatakan komitmen mengenai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, kenyataan PAS bahawa PN telah bersiap sedia menghadapi PRU15 hanyalah keyakinan yang dizahirkan oleh parti itu.

“Kenyataan itu mencerminkan hanya keyakinan PAS. Belum bincang apa-apa pun. Cuba baca betul-betul,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan semalam berkata parti itu yakin PN sudah bersiap-sedia menghadapi PRU-15, termasuklah dalam soal memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen PN.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, PAS yakin kerjasama dan toleransi antara anggota PN mampu menguatkan kedudukan PN, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, sehinggalah ke akhir penggal nanti.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dijangka akan memastikan PN didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah entiti bagi menghadapi PRU15.

Ini dilihat akan menyulitkan pengagihan kerusi antara Bersatu, Umno dan PAS memandangkan ketiga-tiga parti itu bertanding di kawasan demografi yang sama, iaitu kawasan Melayu.

Sesetengah pemimpin Umno dilihat menentang idea ini dan lebih menyokong Muafakat Nasional iaitu kerjasama antara Umno dan PAS tanpa Bersatu.

'Umno Sabah terbuka untuk berbincang'

Bagaimanapun, pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin kelihatan lebih terbuka dalam menerima PN.

“Untuk Umno Sabah kami sentiasa terbuka untuk berbincang, kerana yang penting matlamat utama adalah untuk membangun negeri Sabah dan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Pada saya, rakyat harus diberi keutamaan dalam pembangunan dan kemajuan yang hendak dicapai.

“Dalam masa yang sama Umno Sabah telah bersiap sedia dan menyusun strategi dalam menghadapi PRU pada bila bila masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun Bung mengakui setakat ini belum ada perbincangan terperinci mengenai agihan kerusi antara parti-parti dalam PN.

Kerajaan PH tumbang pada penghujung Feb lalu apabila Muhyiddin selaku presiden Bersatu menarik balik sokongan parti itu terhadap PH, manakala Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Krisis itu bermula dengan pertemuan parti-parti politik di sebuah hotel yang turut disertai sekumpulan anggota parlimen PKR, diketuai timbalan presidennya, Azmin Ali (kini bekas timbalan presiden).

Ia berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac dan menubuhkan kerajaan PN bersama BN dan PAS.

Gabungan itu turut disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti dari Sabah.






Muhyiddin dalam usaha memastikan gabungan itu tidak hanya menjadi pengganti PH untuk penggal ini, tapi dapat terus berfungsi sebagai satu entiti politik sehingga PRU akan datang.

Kelangsungan Bersatu kini bergantung pada kejayaan PN.

Sekiranya tidak, kemungkinan lain adalah Umno dan PAS akan berganding bahu seperti dalam PRK sebelum ini di bawah Muafakat Nasional, dan meninggalkan Bersatu.

Lihat Komen
ADS