Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ras Adiba rayu kerajaan izin pusat urut, refleksologi OKU beroperasi
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 7:19 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Senator Ras Adiba Radzi meminta kerajaan supaya mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan operator perkhidmatan urut dan refleksologi dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) menyambung semula operasi masing-masing.

Jelas Ras Adiba, perniagaan berkenaan adalah antara sektor yang banyak menggunakan individu OKU.

Tambah Ras Adiba – yang menjadi senator mewakili OKU di Dewan Rakyat – beliau sedih apabia dimaklumkan bahawa komuniti terbabit tidak dapat menjana pendapatan disebabkan kerajaan masih melarang perkhidmatan urut dan refleksologi daripada beroperasi seperti biasa.

“Saya sebenarnya terkilan apabila mendapati perkhidmatan tersebut tidak disenaraikan bersekali dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang boleh memulakan perniagaan semula dengan prosedur-prosedur tertentu.

“Jika soal kesihatan yang menjadi kerisauan, apa bezanya perkhidmatan lain yang melibatkan sentuhan dengan urut refleksologi yang dijalankan oleh mereka yang memiliki kelainan upaya?” katanya yang juga merupakan bekas personaliti televisyen dan penyampai berita.

Kenyataan Ras Adiba dibuat pada hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hari ini.

Melalui PKPP kebanyakan sektor perniagaan dibenarkan kembali dibuka, manakala perjalanan rentas negeri - yang sebelum ini dilarang kecuali dengan keizinan polis - kembali dibenarkan.

Perniagaan gunting rambut dan salun kecantikan juga mula dibenarkan melalui PKPP, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

Juga ada tanggungan perlu disara

Bagaimanapun, beberapa sektor yang dianggap tidak penting seperti pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi. Ini termasuk pub, kelab malam, pusat karaoke dan taman tema. 

Kata Ras Adiba perkhidmatan rawatan urut refleksologi yang banyak disertai oleh golongan OKU penglihatan sebagai juruterapi masih tidak dibenarkan atas alasan perkhidmatan urut dan refleksologi berada dalam kategori “hiburan”.

"Ramai kalangan komuniti OKU yang membangkitkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkara ini seolah-olah pengecualian operasi dalam tempoh PKPP terhadap pusat urut dan refleksologi merupakan perkara enteng yang tidak mengundang sensitiviti komuniti OKU yang lain," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Persatuan OKU Sentral berkata golongan terbabit juga mempunyai tanggungan yang perlu disara.

Dalam persekitaran ekonomi yang kian mencabar ini, kata Ras Adiba, pertimbangan agar perniagaan urutan dan refleksologi diberikan kebenaran untuk beroperasi dapat menjernihkan kembali peluang rezeki buat OKU.

"Saya dengan rendah diri meminta agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk membenarkan perkhidmatan urut refleksologi yang banyak menggaji individu-individu kurang upaya penglihatan," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS