Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin intai peluang melalui pilihan raya mengejut - laporan
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 2:02 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah bersiap sedia untuk pilihan raya mengejut, paling awal tahun ini, bagi mendapatkan mandat bagi Perikatan Nasional (PN).

Memetik sumber, The Straits Times Singapura melaporkan presiden Bersatu itu menyatakan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 4 Jun, yang kemudian diikuti dengan siri taklimat dengan ketua-ketua bahagian pada hari-hari berikutnya.

Laporan itu juga memetik Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan sebagai bekata, Muhyiddi telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbi Bersatu dan mengarahkan persiapan pilihan raya dilakukan.

“Saya sokong idea untuk mengadakan PRU secepat mungkin, selepas kita selamat dari situasi koronavirus, kerana ia akan mengakhiri propaganda mengenai keabsahan (kerajaan) dan membantu menstabilkan kerajaan PN,” katanya.

Laporan itu turut mendakwa parti-parti dalam PN telah setuju untuk tidak bertanding di kerusi sama pada pilihan raya aan datang, dan Umno dan Bersatu telah menubuhkan jawatankuasa teknikal berkenaan pembahagian kerusi pada 7 Jun lalu.

Menurut laporan itu lagi, sejumlah ahli strategi dalam gabungan itu telah membuat unjuran bahawa sokongan di kalangan orang Melayu akan memberikan hampir semua kira-kira 120 kerusi majoriti Melayu, meletakkan PN dalam landasan untuk mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pilihan raya itu mungkin akan dibuat setelah Muhyiddin membentangkan "belanjawan pilihan raya", kata laporan itu.

Bagaimanapun rundingan pembahagian kerusi boleh menjadi sukar memandangkan walaupun Bersatu kini memiliki 32 kerusi Parlimen, hanya tujuh yang dimenangi menerusi tiket parti itu.

Manakala selebihnya adalah bekas anggota Parlimen Umno dan PKR yang menyertai parti itu kemudiannya.

Dalam pada itu, sumber yang dipetik The Straits Times itu juga berkata terdapat cadangan daripada Umno untuk parti itu dan Bersatu bergabung, dengan Muhyiddin sebagai pemimpin tertinggi.

“Meskipun Bersatu tiada niat untuk bergabung, ini menunjukkan kekuatan setiap parti. Umno yang mempunyai jentera besar tetapi Bersatu ada calon perdana menteri terbaik,” kata sumber tersebut.

Lihat Komen
ADS