Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rozaimi mahu belajar, sedia dialog dengan Hadi
Diterbitkan:  Jun 13, 2020 1:56 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Rozaimi Ramle berkata beliau tidak menolak untuk berdialog dengan Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan presiden PAS itu baru-baru ini.

Rozaimi merujuk kepada kenyataan Hadi yang antara lain berhubung perubahan pendekatan parti itu dalam politik negara yang menurutnya bukan disebabkan perubahan kepimpinan, tetapi kerana perubahan realiti dan kemampuan membaca sepak terajang politik.

"Jika ada yang boleh mengatur dialog antara saya dan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) berkenaan isu teropong yang menjadi polemik baru-baru ini, saya bersedia insya-Allah.

"Semoga saya boleh belajar sesuatu dari beliau," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam satu artikel yang disiarkan di Harakahdaily pada 10 Jun lalu, Hadi berkata PAS "mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap".

"PAS tidak boleh dikelirukan dengan kaca mata yang berwarna sehingga tidak kenal warna yang di luar atau warna yang diubah untuk mengelirukannya.

"PAS berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang Muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT, manakala sebaik-sebaik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada hari kiamat nanti," katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada perubahan politik PAS selepas PRU ke-14, apabila menjalinkan hubungan dengan Umno yang suatu ketika dulu seteru utamanya, menerusi Muafakan Nasional (MN).

Apabila saya menjemput mana-mana pimpinan PAS berdialog bukanlah tujuan saya untuk mengatakan saya berani. Sebaliknya...

Posted by Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith on Jumaat, 12 Jun 2020

 Beberapa tahun sebelumnya, PAS bersama-sama membentuk Pakatan Rakyat dengan PKR dan Amanah dan sebelum itu, Barisan Alternatif (BA) juga dengan dua parti itu.

MN dibentuk bagi berdepan PH yang ketika itu dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Bagaimanapun keadaan berubah apabila Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk meninggalkan PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang turut disertai PAS.

Dalam hantaran tersebut, Rozaimi turut memuat naik beberapa komen yang mempersoal jika beliau takut untuk berdebat dengan Abdul Hadi, memandangkan pernah mengajak Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik untuk berbuat demikian.

Ia berkenaan kenyataan Mokhtar bahawa kerjasama MN disambut dengan "takbir malaikat" yang "bergema ke seluruh alam", yang telah mengundang kritikan di media sosial.

Dalam penjelasannya, Rozaimi berkata jemputan yang disuarakan kepada mana-mana pemimpin PAS sebelum ini bukan bertujuan untuk menunjuk keberanian.

"Sebaliknya hanya untuk berbincang dan mengambil manfaat ilmu dalam isu-isu yang menjadi polemik dalam masyarakat.

"Sebenarnya saya tidak takut untuk berdialog kerana tujuan saya bukan untuk menang tetapi untuk berbincang dan belajar," katanya.

Lihat Komen
ADS