Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Selepas 2008, parti-parti pembangkang percaya dengan menyatukan kekuatanlah maka persepsi dan sokongan rakyat (undi) akan dapat dibulatkan. Maka pada 1 April 2008, tertubuhnya Pakatan Rakyat (PR).

Parti teras PR ketika itu adalah DAP dan PKR. Selepas PRU12 PAS menyertai PH secara rasmi.

Namun PR terkubur pada 16 Jun 2015 setelah PAS menolak DAP sebagai sebahagian daripada PR. Pada 22 September pada tahun yang sama, DAP dan PKR menubuhkan Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan PR. Kemudian PH diperkuatkan lagi dengan dua buah parti baharu iaitu Amanah dan Bersatu.

Ketika yang sama selepas PRU12 pada 2008, DAP antara parti politik yang paling mendapat tumpuan kerana buat pertama kalinya parti ini telah berjaya menjinakkan pengaruh tiga parti komponen BN yang utama iaitu MCA, MIC dan Gerakan. Sejak itu, dendam kesumat Umno-BN kepada DAP, tak bertemu senja.

Dari ingatan kita, DAP bukan sahaja menjadi sasaran Umno-BN (daripada luar), namun rakan-rakan gabungan juga (dari dalam) sering menjadikan DAP sebagai kambing hitam apabila menghadapi kemelut parti masing-masing.

Selepas pemilihan PAS 2015, berlakunya perpecahan PAS yang teruk hingga membawa kepada perpecahan PR. Punca kepada perpecahan ini dikaitkan dengan dakwaan bahawa DAP mendatangkan masalah kepada PAS apabila DAP dikatakan ‘menentang Islam’.

Selepas pemergian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, penolakan ini semakin kuat dan kumpulan pro-PH dan pro-Anwar diberikan jalan keluar dari PAS.

Selepas kejayaan pada PRU 13, pada Feb 2020, Bersatu bersama kumpulan propresidennya telah menarik sokongan mereka kepada PH bersama-sama dengan sekutu timbalan presiden PKR. Punca hingga berlakunya peristiwa ini juga dikaitkan dengan DAP.

Selain penolakan terhadap Anwar oleh segelintir dari dalam PH, isu terbesar yang dijadikan sebab pemberontakan Bersatu ini sama, iaitu DAP membawa masalah kepada Bersatu hingga sokongan Melayu kepada Bersatu merosot dan dakwaan ini dibuktikan apabila kesemua pilhan raya kecil (PRK) yang ditandingi oleh Bersatu selepas PRU 14, tewas tak bersisa.

Dua senario dari episod berkuburnya PR dan jatuhnya kerajaan PH, menjadi manfestasi kepada dua perkara penting.

Pertama, PH tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS (2015) dan Bersatu (2020). Kedua, DAP dijadikan sebab kepada punca perpecahan PR dan PH.

Saya ingin menumpukan kepada persoalan pertama, persoalan kedua mungkin di rencana yang lain.

Maka, persoalan yang lebih besar dan bersifat menyeluruh ialah, PH harus meningkatkan lagi jumlah kerusinya di 155 kawasan luar bandar yang belum dikuasai jika mahu jumlah kekuatan yang cukup tanpa perlu bergantung dengan PAS, Bersatu atau mana-mana entiti lain.

Namun, jalan penyelesaian ini tidak popular, hasilnya pula lambat. Malah di kalangan rakan-rakan dalam parti berhujah bahawa kekuatan DAP atau PKR ini ialah di kawasan campuran, mengapa perlu ke kawasan luar bandar yang mana peluang untuk menang sangat tipis, malah sumber yang diperlukan juga amat besar.

Dilema ini akhirnya diselesaikan dengan membiarkan PAS melawan Umno (PRU12 dan PRU13), dan membiarkan Bersatu melawan Umno (PRU14). Usaha ini terbukti berjaya, tetapi formula ini rupanya masih rapuh.

Apa yang berlaku setelah menang ialah PH bergolak dan menjadi tidak stabil. Dan apabila berlaku perpecahan, PR (dulu) dan PH kini tidak cukup kekuatan untuk menampung kekosongan tersebut.

Dan hari ini, formula yang hampir sama diangkat iaitu PH Plus. Bunyinya sangat catchy sekali.

Jika formula PH Plus ini sudah diputuskan oleh pimpinan PH atas keyakinan bahawa ini sajalah jalan yang terbaik, maka ahli parti seperti saya perlulah akur.

Jika isu calon PM dan formula PH Plus ini berjaya sekalipun, tiada siapa boleh memberi jaminan bahawa tidak ada lagi yang akan berpaling tadah seperti peristiwa-peristiwa sebelum ini. Risiko ini tidak dapat dihindar kerana semua tahu, tanpa mereka kerajaan PH akan runtuh, sekali lagi.

Mengikut rekod, bukan sahaja parti dan ahli mudah berpaling tadah mengikut arah ringgit atau arahan bosnya, malah akuan bersumpah (SD) sekalipun boleh berubah dalam sekelip mata.

Formula PH Plus ini betul-betul bergantung kepada ‘persetujuan dan persefahaman’ ketika ini tanpa mengambil kira risiko pada hari esok.

Persoalannya, gabungan politik bagaimana lagikah selain PH Plus yang lebih stabil dan meyakinkan rakyat ketika ini? Jika tidak ada, PH harus bersedia jika dikhianati kali ketiga. Integriti politik, menghormati perjanjian politik, adalah kuncinya.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis dan anggota jawatankuasa DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS