Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Hannah Yeoh berkenaan tweet kahwin bawah umur

Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipanggil oleh pihak polis ke Bukit Aman untuk disoal siasat berkenaan tulisan di Twitternya pada Mac lalu.

Dalam tweet berkenaan; bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid memberitahu Malaysiakini, Yeoh disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 505  Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang menimbulkan khianat awam boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Manakala mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya.

Mereka juga boleh dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan selepas disabitkan.

Mior berkata, polis bercadang mengambil keterangan Yeoh pada 23 Jun selepas laporan dibuat oleh orang awam terhadap tweet berkenaan.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, ahli politik DAP itu memberi jaminan akan membantu siasatan.

"Saya akan memberi kerjasama dengan polis," katanya.

Sementara itu, menulis di Twitternya, Yeoh mempersoalkan sekiranya bertanya  kini dianggap sebagai suatu kesalahan.

"Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai tweet ini. Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh. Sidang Parlimen bulan Mei juga tak diberi peluang tanya soalan. Roadmap ini hasil kerja kuat pentadbiran bawah PH @drwanazizah," katanya.

Pelan itu dilancarkan pada Januari lalu bertujuan menangani punca perkahwinan bawah umur melalui perubahan dasar, reformasi undang-undang, program dan kerjasama antara agensi kerajaan.

Wan Azizah pada masa itu berkata pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi serta 58 program dan tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

Siasatan terhadap Yeoh dilakukan selepas polis menyiasat bekas menteri air, tanah dan sumber asli, Xavier Jayakumar berhubung kenyataan yang dibuat berkenaan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Anggota Parlimen Kuala Langat dari PKR itu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung klip video yang memamaparkan beliau mendakwa persidangan selama sehari itu adalah tidak berfaedah dan mengarut.

Lihat Komen
ADS