Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa curi Milo kena penjara, curi berbilion boleh lepas'
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 9:20 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Rakyat Malaysia marah dan menuntut untuk mengetahui mengapa Putrajaya menyetujui perjanjian penyelesaian dalam kes mahkamah Riza Aziz, kata bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin.

“Rakyat mahu tahu mengapa bila kamu curi Milo kamu kena penjara, tetapi bila kamu curi berbilion ringgit, kamu boleh terlepas?

“Rakyat fikir ini adalah perjanjian yang bagus untuk dia (Reza). Dia tak perlu habiskan masa dalam penjara dan dibenarkan untuk simpan lebih RM500 juta yang dicurinya,” katanya dalam wawancara oleh The Malaysian Insight.

Kata Daim, perjanjian Putrajaya dan Riza adalah berat sebelah.

“Sudah tentu rakyat marah. Dia tak beri pun sebarang bayaran semula tambahan - semua hartanah itu sudah disita dan memang akan dipulangkan kembali kepada Malaysia.

“Lagipun, jumlah yang mereka tawarkan adalah jumlah nilaian hartanah itu.

“Ia tidak bermaksud yang inilah jumlah nilai yang akan dilelong. Rakyat mahu tahu mengapa dia tidak dipenjara, dan mengapa dia dibenarkan menyimpan lebih separuh daripada wang yang dituduh dicurinya,” kata bekas menteri kewangan itu.

Riza, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, sebelum ini didakwa dengan lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB antara April 2011 dan November 2012.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Riza daripada semua pertuduhan, dengan syarat Riza memulangkan aset asing dikaitkan dengan jenayah itu yang dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Susulan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata kerajaan dijangka mendapatkan kembali aset luar negara yang dianggarkan bernilai AS$107.3 juta sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Utamakan ECRL berbanding HSR

Sementara itu, Daim berkata projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) harus diutamakan berbanding projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM110 bilion.

Menurutnya, pembayaran pinjaman untuk projek ECRL hanya akan bermula sebaik sahaja landasan kereta api mula beroperasi pada tahun 2027.

Projek ini sudah siap dan kontraktor dan perniagaan tempatan akan mendapat pekerjaan.

"Sekiranya kita meneruskan projek HSR nanti dan sesuai dengan keadaan asalnya, saya khuatir Malaysia akan menyerahkan kedaulatannya kepada Singapura," katanya.

"Ramai yang tidak sedar bahawa berdasarkan perjanjian asal, Singapura akan memiliki kuasa yang sama dengan Malaysia mengenai penggunaan jalur kereta api di dalam sempadan Malaysia.

"Sebagai contoh, jika Malaysia ingin menghubungkan HSR dengan ECRL, Singapura boleh dan akan bantah kerana mereka tahu rangkaian seperti itu akan mempengaruhi industri pelabuhan mereka," kata Daim.

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Daim diberi kepercayaan untuk mengkaji semula projek mega yang diluluskan semasa era BN dan beliau bertanggungjawab untuk melakukan rundingan semula dengan China untuk mendapatkan perjanjian yang lebih baik untuk Malaysa mengenai ECRL.

"Ia bukan hanya menjimatkan negara berbilion-bilion ringgit tetapi juga lebih baik dan lebih aman bagi negara dalam jangka panjang.

"Isu seperti pembelian minyak sawit, pelaburan, operasi bersama dan penyelenggaraan, peningkatan komponen tempatan dan pelaburan koridor lain semuanya memberi keuntungan," katanya.

Tidak seperti HSR, kata Daim, ECRL sudah siap dan pembinaannya akan memacu perdagangan dan industri sepanjang penjajarannya.

"Syarat pembiayaan dan jangka masa pembayaran yang panjang menjadikan ECRL sebagai contoh utama bagaimana menggunakan pembiayaan asing yang murah untuk membantu pemulihan ekonomi negara.

"Ini harus dianggap sebagai projek utama kerana kita masih harus membayar bunga dari jumlah yang diturunkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

"Sama ada teruskan atau tidak, faedah masih perlu dibayar. Oleh itu, lebih baik kita memulakan projek ini kerana sebarang kelewatan akan menambah kos," katanya.

Lihat Komen
ADS