Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SU Agung PKR: PH tak pernah cadang Dr M sebagai PM
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata Pakatan Harapan (PH) - blok pembangkang terbesar - tidak pernah mencadangkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pada mesyuarat baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Saifuddin berkata “Pakatan Harapan Plus”- gabungan antara PH dan sekutunya - telah berjumpa pada 13 Jun - yang Mahathir mencalonkan dirinya sendiri bagi jawatan tersebut.

Saifuddin turut mendakwa Mahathir mahu berkhidmat sekurang-kurangnya 12 bulan sebagai perdana menteri bagi membetulkan masalah bekas perdana menteri Najib Razak dan penyandang jawatan itu kini Muhyiddin Yassin.

“(Presiden Warisan) DS Shafie Apdal pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan 6 bulan seharusnya mencukupi.

“(Mesyuarat berakhir setelah) Tun Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan Pakatan Harapan kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon perdana menteri,” kata Saifuddin.

Sejurus selepas mesyuarat tersebut, perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH telah diadakan dengan persetujuan keputusan calon perdana menteri akan dibuat pada 16 Jun.

Bagaimanapun calon perdana menteri tidak diumumkan pada tarikh tersebut dan Anwar telah memohon maaf secara terbuka kepada rakan PH tersebut.

Saifuddin juga telah menerangkan kepada rakan PH bahawa mesyuarat tersebut terpaksa ditunda kerana Anwar membuat kunjungan ke Sarawak.

Susulan itu, Saifuddin berkata dakwaan PH mencalonkan nama lain selain Anwar sebagai perdana menteri adalah tidak benar.

“Sebaliknya nama Mahathir dicadang sendiri oleh beliau dan Shafie memberi sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus,” katanya lagi.

Saifuddin turut menambah bahawa Majlis Pimpinan Pusat Keadilan (MPP) akan mengadakan mesyuarat esok dan pendirian parti akan dimuktamadkan.

Ahli pimpinan tertinggi PH, Warisan dan kumpulan kecil Bersatu yang setia dengan Mahathir- yang dikenali sebagai PH Plus- telah mengadakan beberapa siri mesyuarat sejak akhir Mei bagi merangka rancangan untuk membentuk kerajaan baru.

Pada 31 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa PH Plus percaya akan mempunyai majoriti cukup untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Bagaimanapun, rundingan telah berlarutan kerana kumpulan parti tersebut tidak dapat bersetuju untuk mencalonkan Mahathir atau Anwar bagi jawatan perdana menteri.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke memberitahu Malaysiakini, gandingan Anwar-Mukhriz Mahathir turut dicadangkan bagi jawatan perdana menteri dan timbalannya.

Mesyuarat terakhir adalah pada 9 Jun dan 13 Jun, yang menyaksikan gandingan terbaru Mahathir-Anwar disokong.

Loke mendakwa meskipun DAP dan Amanah lebih cenderung pada gabungan Anwar-Mukhriz, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan kerana ahli parlimen lain mahukan Mahathir bersama Anwar.

Kata Loke, DAP kini menunggu jawapan dari PKR dan membuat keputusan untuk menguar-uarkan perkara tersebut setelah tarikh sebenar 16 Jun berlalu.

Lihat Komen
ADS