Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Zulkiflee letak jawatan sebab tak setuju bayaran tambahan pada S'wak - Laporan
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 12:51 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin dikaitkan selepas tidak setuju dengan perdana menteri, Muhyiddin Yassin berhubung bayaran tambahan hasil minyak kepada Sarawak.

Memetik lima sumber dari kerajaan dan Petronas, laporan Reuters mendedahkan bayaran tambahan itu akan memberi kesan terhadap Petronas dan perbelanjaan negara di saat wabak Covid-19 menjejaskan harga minyak.

Menurut laporan itu, Wan Zulkiflee Wan Ariffin meletakkan jawatan sebagai CEO Petronas selepas tidak setuju dengan pembayaran RM2 bilion cukai jualan kepada Sarawak.

"Wan Zul letak jawatan kerana prinsip, di mana dia tidak setuju dengan perjanjian Sarawak.

"Kerajaan baru sedia memberi lebih (bayaran tambahan) kepada negeri-negeri yang menghasilkan minyak," kata sumber terdekat kerajaan itu.

Wan Zulkiflee enggan memberi komen, manakala Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Petronas juga tidak mahu memberi sebarang ulasan.

Pada 10 Jun lalu, Bernama memetik Pengerusi Jawatankuasa Perunding Perjanjian Malaysia 1963 Sarawak, Amar Mohd Asfia Awang Nassar sebagai berkata Petronas masih belum membuat sebarang pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum kepada kerajaan negeri, sebaliknya telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, Mohd Asfia berkata sebuah jawatankuasa perunding sudah ditubuhkan untuk berunding dengan Petronas mengenai pembayaran cukai berkenaan.

Reuters melaporkan, Wan Zulkiflee sebelum ini berkata Sarawak "tidak mempunyai kompetensi undang-undang" untuk menuntut cukai jualan, sekali gus menentang tuntutan dari Sarawak dan Sabah untuk pembayaran royalti lebih tinggi.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac, setelah pengunduran Dr Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun.

Mahathir dilapor tidak setuju memberikan lebih banyak hasil minyak kepada Sarawak dan Sabah yang memiliki dua pertiga rizab minyak dan gas di Malaysia.

Sumber-sumber itu berkata Muhyiddin tidak dapat menolak permintaan dari Sarawak kerana Gabungan Parti Sarawak memiliki 18 kerusi di parlimen dan  kunci utama untuk mengekalkan kerajaan Muhyiddin yang memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Selain bersetuju cukai penjualan, Muhyiddin juga terbuka terhadap tuntutan dari Sarawak dan Sabah untuk kenaikan pembayaran royalti, kata sumber berkenaan..

Bagaimanapun, sumber-sumber itu tidak menyatakan berapa banyak peningkatan bayaran royalti yang dipersetujui Muhyiddin atau berapakah jumlah baru yang telah dibincangkan.

Lihat Komen
ADS