Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patriot: Penguat kuasa terlibat seludup Pati perlu didakwa khianati negara
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata, jika 18 anggota penguat kuasa yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) adalah benar, perbuatan tersebut amat memalukan anggota pakaian seragam.

"Mereka yang ditahan adalah pegawai penguat kuasa, bermakna mereka diberikan kepercayaan untuk melaksanakan tugas oleh pihak atasan, dan kini dituduh terlibat dengan sindiket jenayah.

"Ini mengejutkan kerana ia adalah jenayah terhadap negara, dan ini juga memalukan mereka yang berpakaian seragam," kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika didapati bersalah, dalangnya harus ditangani dengan serius. Tuduhan atas kesalahan mengkhianat boleh dikenakan jika perlu.

“Sejak tiga tahun lalu, Patriot lantang bersuara menentang kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sebagai pegawai penguat kuasa sebelum ini, kami dilatih untuk melaksanakan tugas secara profesional untuk mencapai misi.

"Integriti kami tidak perlu dipertikaikan dan nilai-nilai yang kami (amalkan) adalah sikap menghormati, ketelusan, dan keberanian dan untuk negara," tambahnya.

Arshad mengulas kenyataan Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, mengenai penahanan 18 penguat kuasa melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin pada 4 Jun lepas.

Cuma kesalahan disiplin peribadi

Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang berkata ATM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggotanya yang terlibat dengan apa juga kegiatan jenayah termasuklah sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin.

“ATM bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut ke atas mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ini,” kata Affendi dalam kenyataannya sebelum ini.

Arshad turut mengingatkan pihak berkuasa tentang komitmen mereka untuk mempertahankan negara.

“Tugas kita sering kali berdepan dengan risiko dan kita harus bersedia untuk kehilangan nyawa. Kegagalan tidak dapat diterima.

"Oleh itu, sebagai veteran tentera, kami menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik dan mereka yang memegang jawatan tinggi.

"Bagi anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam jenayah terhadap negara, kita mengkritik (perbuatan tersebut) sekeras-kerasnya,” tambahnya.

Arshad berkata walaupun kadangkala terdapat kesalahan tatatertib dalam kalangan anggota penguat kuasa sebelum ini, kebanyakannya hanya terhad kepada masalah disiplin peribadi dan kesalahan kecil seperti tidak hadir tanpa cuti, mogok, dan penyalahgunaan dadah.

“Perbuatan jenayah terhadap negara hampir tiada. Sebahagian sebabnya adalah kerana kita mempunyai pemimpin yang baik yang membimbing dan telah memberikan teladan yang baik kepada orang bawahan," katanya.

Lihat Komen
ADS