Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL: Tiada keperluan untuk warga asing masuk pasar borong KL
Diterbitkan:  Jun 23, 2020 4:32 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan ada mengeluarkan larangan terhadap pelarian daripada memasuki pasar borong Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan hari ini, DBKL berkata notis bertarikh 19 Jun tersebut dikeluarkan di bawah arahan datuk bandar Nor Hisham Ahmad Dahlan sebagai panduan kepada kakitangan yang bertugas memantau pergerakan keluar masuk pasar itu.

Merujuk kepada larangan itu, DBKL berkata pihaknya melihat "tiada keperluan" untuk warga asing memasuki pasar tersebut kerana pembelian di sana dibuat secara borong, bukannya runcit.

"Jika mereka ingin membeli keperluan harian, mereka boleh mendapatkannya di pasar lain seperti pasar harian Selayang yang terletak berhampiran.

"Arahan ini juga terpakai kepada pemegang kad UNHCR kerana DBKL berpendapat tiada keperluan untuk mereka memasuki pasar borong ini...pemegang kad UNHCR bukan peruncit," kata DBKL.

DBKL berkata lagi, pihaknya telah melaksanakan penguatkuasaan sekatan pergerakan lebih ketat terhadap pekerja asing memandangkan penularan Covid-19 di kalangan golongan itu telah membawa kepada penutupan sementara pasar.

"Ini bagi memastikan pasar borong dapat terus berfungis dengan lancar tanpa gangguan penutupan kerana ia salah satu nadi kepada aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Sebelum notis 19 Jun itu, DBKL berkata pihaknya telah mengumumkan larangan warga asing untuk bekerja di pasar itu pada bulan lalu.

"Ini bukan saja dapat memulihkan persekitaran pasar borong, malah dapat memberikan imej baru dan bersih kepadanya.

"Setakat ini, persekitaran pasar borong kelihatan lebih teratur, tersusun dan selamat untuk dikunjungi," katanya.

Notis tersebut turut menyatakan warga asing yang memiliki dokumen sah yang ingin masuk ke pasar itu perlu ditemani seorang warga Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, DBKL berkata warga asing yang dibenarkan masuk mestilah pekerja sah dan berdaftar yang bekerja dengan syarikat pembekal sahaja, dan perlu diiringi majikan mereka.

Sebelum ini pihak berkuasa menyerbu pasar tersebut dan sekitarnya, serta menangkap ratusan warga asing tanpa dokumen - termasuk pelarian Rohingya - yang sebelum ini merangkumi 90 peratus pekerja di pasar.

Pasar yang menjadi tempat transit bagi bekalan makanan segar di Lembah Klang itu ditutup sementara pada April lalu, bagi tujuan disinfeksi dan saringan Covid-19.

Kawasan sekitarnya pula dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas kerajaan mengenal pasti kluster Covid-19 di pasar tersebut, melibatkan 28 orang dan seorang warga Myanmar berusia 36 tahun yang meninggal dunia.

Kes Covid-19 yang berkaitan dengan kluster itu juga dikenal pasti di beberapa negeri.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS