Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KORONAVIRUS | Semua pelarian dari negara luar kini dilarang daripada memasuki Pasar Borong Kuala Lumpur, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Notis DBKL untuk kebenaran memasuki pasar tersebut bertarikh 19 Jun dikeluarkan di bawah arahan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

“Dimaklumkan bahawa semua individu yang ingin berurusan dalam Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) akan diperiksa dan perlu mendaftar sebelum dibenarkan masuk,” menurut notis yang dilihat Malaysiakini itu.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan DBKL mengesahkan kesahihan notis itu dan dikeluarkan oleh jabatan pelesenannya.

Bagaimanapun ia menarik perhatian aktivis hak warga asing di media sosial.

Selain larangan terhadap pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), notis itu juga menyatakan bahawa semua warga asing yang mempunyai dokumen sah, yang ingin memasuki pasar itu mesti ditemani oleh warganegara Malaysia.

Bagi pekerja pasar dan pemegang lesen, notis tersebut menyatakan bahawa mereka hanya akan dibenarkan masuk dengan pas yang sah.

Tiada sebarang alasan dinyatakan untuk larangan dalam notis tersebut.

Pihak berkuasa sebelum ini menyerbu pasar berkenaan dan kawasan sekitarnya, sehingga menyebabkan penahanan ratusan warga asing tanpa dokumen - termasuk pelarian Rohingya - yang dianggarkan meliputi 90 peratus daripada pekerja pasar terbabit.

Pada April lalu Pasar Borong Kuala Lumpur - pasar terbesar di negara ini dan transit bagi sebahagian besar makanan segar di Lembah Klang - ditutup buat sementara waktu ekoran kerja-kerja nyah kuman dan ujian saringan kesihatan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja di situ.

Meskipun kerajaan tidak meletakkan pasar borong di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), namun ia perlu ditutup selama pada 20 dan 21 April lalu. Ia kemudian dilanjutkan selama dua hari lagi sehingga 23 April.

Kawasan sekitar pasar borong itu telah diletakkan di bawah PKPD selepas kerajaan mengenal pasti kluster Covid-19 di pasar borong tersebut, di mana 28 orang daripadanya dijangkiti dan seorang lelaki Myanmar berusia 36 tahun meninggal dunia.

Kes-kes yang berkaitan dengan kluster itu kemudian dikenal pasti di beberapa negeri lain.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS