Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Perubahan tampuk pemerintahan sejak Mac lalu sedikit sebanyak merubah wajah politik di Malaysia. Walaupun ramai pemimpin yang memegang kuasa kini bukanlah baru, namun, kita dapat melihat perbezaan ketara komunikasi pentadbiran ini berbanding dengan yang lalu.

Sejak pertukaran kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mengambil tempat sebagai perdana menteri kelapan.

Namun, siapa sebenarnya Muhyiddin dan apakah corak kepimpinan beliau?

Walaupun kerjaya politik beliau bemula sejak 1978 sebagai ahli parlimen Pagoh, umumnya masih belum mengenali beliau dari dekat. Dengan keadaan krisis pandemik Covid-19 yang semakin meruncing ketika itu, ramai gelisah dan memerlukan imej yang boleh memberikan kepercayaan dan ketenteraman.

Tatkala digasak dengan gelaran pengkhianat dan kerajaan tiada mandat atau pilihan rakyat, semuanya tidak langsung memberi kesan yang besar kepada beliau.

Persoalannya, mampukah imej baru ini dapat bertahan lama atau sekadar perhiasan yang tidak mampu menangkis polemik politik yang mungkin bergelumang sekali lagi?

Rata-rata ramai yang tertarik dengan pendekatan baru sejak perutusan pertama beliau di kaca televisyen dengan penggunaan bahasa yang lebih mudah difahami dan bersifat kolokial. Pendekatan ini memberikan satu persepsi seolah-olah beliau cuba mendekati rakyat mengelakkan bahasa yang terlalu teknikal dan penuh dengan jargon.

Panggilan ‘Tok’ mahupun ‘Abah’ bukanlah sesuatu yang baru, malah ia sememangnya agak sinonim dalam politik Melayu sejak beberapa kurun yang lalu ketika zaman feudal. Ini merupakan budaya berdasarkan hierarki dan politik naungan (patronage).

Dalam pemerhatian dan kajian oleh Anthony Miller dalam buku beliau, Kerajaan: Budaya Politik Melayu sebelum Era Pemerintahan Kolonial. Penulisan beliau menyingkap bagaimana politik Melayu masih berpegang kuat kepada beberapa elemen-elemen yang masih bertapak kukuh yang merangkumi dalam era selepas kemerdekaan.

Aspek-aspek seperti ini selalunya kurang mendapat perhatian ramai dalam pemahaman strategi komunikasi politik dalam kalangan Melayu. Yang menarik, ia merupakan satu langkah yang efektif dan ‘halus’ tertumpu kepada pengundi-pengundi Melayu.

Berikut adalah empat elemen utama pemerhatian dan strategi komunikasi dalam membentuk naratif serta merubah persepsi imej Muhyiddin sebagai perdana menteri baru dalam pentadbiran PN.

1. Persona baru imej pemimpin politik Melayu

Persona ini memberikan satu gambaran bahawa perdana menteri sekarang lebih dekat di hati rakyat dan menunjukkan satu imej kebapaan, dengan kata lain penaungan. Ciri-ciri pimpinan beliau pada ketika era pemerintahan BN tidak berapa diketahui ramai, dan sememangnya bukan seorang yang agresif dalam arena perseteruan politik.

Penampilannya yang lebih simplistik atau minimal, tidak tampak terlalu elit berbanding dengan pimpinan terdahulu.

2. Penggunaan bahasa yang lebih mudah difahami

Perutusan pertama daripada beliau semasa pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu dengan menggunakan kata-kata yang mudah difahami dan mengelakkan penggunaan bahasa yang terlalu teknikal, seolah-olah ia satu nafas baru kepada orang ramai. Ini juga merupakan kali pertama seorang perdana menteri menggunakan Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris, dengan tujuan menjawab persoalan ramai dari kalangan pengundi bandar yang tidak berpuas hati dan kurang senang dengan perubahan kerajaan.

3. Faktor semasa, resepi terbaik merungkai persepsi negatif

Rata-rata rakyat berasa resah dan tidak puas hati dengan kemelut percaturan politik yang seolah-olah tiada kesudahan dalam pentadbiran yang lalu, dengan kata lain, fenomena keletihan politik. Saban hari, tajuk utama laporan akhbar sentiasa dipenuhi dengan polemik penyerahan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibahim, memberikan peluang kepada pembangkang pada masa itu untuk mengalihkan kebencian kepada pentadbiran PH.

Dalam keadaan penularan pandemik Covid-19, rakyat menginginkan kepimpinan yang perlu dibawa. Walaupun pentadbiran baru bawah PN tidak kurang isunya, tetapi pengurusan persepsi negatif dan strategi naratif ‘mengalihkan’ fokus sememangnya agak efektif.

Pada ketika PN masih cuba menyesuaikan diri dengan permuafakatan baru, PH pula masih ‘bergaduh’ secara terbuka di alam maya.

4. Kawalan komunikasi lebih ketat, kurangkan akses maklumat dan elak pembocoran maklumat dalaman yang sensitif

Sepanjang 100 hari sejak Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pimpinan di Putrajaya, hanya beberapa figura sahaja diberikan lampu hijau untuk bercakap dengan media, mahupun mengeluarkan kenyataan media. Bukan semua ahli jemaah menteri diberikan kebenaran, hanya menteri-menteri kanan dan juga birokrat kanan sahaja yang dibenarkan.

Selain itu, sidang media juga terhad kepada media kerajaan sahaja seperti Bernama dan RTM, wartawan daripada media swasta dan digital tidak dibenarkan. Setakat hari ini, perdana menteri hanya mengadakan satu sidang akhbar yang terbuka kepada semua sebelum pelaksanaan PKP. Sidang akhbar oleh ketua pengarah Kementerian Kesihatan sajalah yang terbuka kepada semua media, manakala sidang akhbar oleh menteri-menteri kanan hanya kepada media rasmi kerajaan.

Dalam siri program Bicara Minggu Ini, pensyarah kanan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor mengulas fenomena ini sebagai satu simbolisme gambaran tentang kerajaan semasa, iaitu konsep ‘Kemelayuan’ dan ‘keakraban’.

Muhamad Nadzri Mohamed 

“Kita dapat lihat kerajaan PN pada hari ini, kita boleh kata kerajaan yang hampir 95 peratus Melayu, lebih daripada itu. Ciri-ciri Kemelayuan itu nampaknya lebih tinggi berbanding dengan model Pakatan Harapan ataupun model Barisan Nasional pada sebelum ini.

“Pentadbiran ini juga cuba menggambarkan keakraban di antara pemerintah dan juga rakyat sebab kita kena faham di sebalik imej kemelayuan dan keakraban yang cuba ditonjolkan oleh kerajaan khasnya melalui retorik Bantuan Prihatin dan macam-macam cerita seperti Mak Cik Kiah dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa ia juga memerihalkan satu situasi kerajaan yang rapuh dan timbul isu persoalan ketidak-absahan kerajaan pada hari ini iaitu dengan tuduhan tebuk atap, pintu belakang dan sebagainya.

Hal itu cuba dialihkan dengan sentimen kemelayuan dan bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang baik dan berbudi dengan menekankan kepada produk bantuan masyarakat berbanding dengan perbincangan isu-isu yang lebih asas seperti keperluan untuk mendapatkan sokongan ataupun pengesahan di parlimen.

“Dengan imej-imej kebapaan dan penaungan (Muhyiddin) memperlihatkan peranan kerajaan sebagai penaung masyarakat pada ketika ini dengan hubungan yang digambarkan sebagai cukup akrab, menjalankan tugasan yang sepatutnya kerajaan lakukan berbanding dengan jasa atau bantuan.

“Jadi, bagi saya itu yang cuba dipupuk sebenarnya dengan mempertahankan imej bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan Melayu, sama ada ikut pintu belakang atau pintu depan, ataupun mana-mana pintu, itu tidak relevan,” tambahnya lagi.

Walaupun kerajaan sekarang tidak ditubuhkan melalui proses pilihan raya, Nadzri berpendapat bahawa yang relevan adalah kerajaan Melayu yang dikehendaki atau dituntut sejak PH memerintah selama dua tahun. Kerajaan sekarang dilihat dipimpin oleh kumpulan-kumpulan etno-nasionalis dan kumpulan Islamis juga dan itu dianggap lebih penting daripada isu-isu sekitarnya.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS