Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU355 jadi agenda parlimen bila sampai masa - PAS
Diterbitkan:  Jun 24, 2020 1:17 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

PAS yakin Rang Undang-undang 355 (RUU 355) akan menjadi agenda dalam sidang parlimen apabila sampai masanya.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, agenda memartabatkan undang-undang Islam melibatkan hudud, qisas dan takzir memerlukan platform benar-benar stabil, yang turut melibatkan kefahaman baik rakyat.

“Maka bil persendirian telah dibawa, telah dibentangkan, cuma belum dibahaskan. Jadi insya-Allah, saya yakin RUU355 ini akan menjadi satu agenda di dalam Sidang Parlimen apabila sampai masanya.

“Dan insya-Allah sebenarnya RUU355 inilah yang akan menjadi asas kepada pelaksanaan Undang-undang Syariah. Jadi, kita nantikan, dan akan ada berita baik kepada umat Islam yang saya yakin mereka sangat menantikan.

“(Umat Islam mahu) supaya undang-undang Syariah ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin di bumi Malaysia ini,” katanya dalam Bicara Harakah 3.0 malam tadi, seperti dipetik Harakahdaily.

Mengulas kekangan yang dimaksudkan, Kamaruzaman memberikan contoh bagaimana hukuman 100 sebatan dan memotong tangan tidak diberikan ruang oleh perlembagaan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, ulasnya lagi, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu telah digubal yang melibatkan pelaksanaan, percubaan untuk melaksanakan RUU Berkenaan di dua negeri berkenaan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016, tetapi menangguhkan perbahasan dan membentangkan versi yang disemak semula pada November 2016.

Ia dibentangkan buat kali ketiga pada April 2017 .

Ia adalah untuk meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah daripada:

i) Penjara tidak melebihi 3 tahun kepada penjara tidak melebihi 30 tahun.

ii) Denda tidak melebihi RM5,000 kepada Denda tidak melebihi RM100,000.00.

iii) Sebatan tidak melebihi enam kali kepada Sebatan tidak melebihi 100 kali.

Sebagai usul persendirian, RUU itu tertakluk kepada Peraturan 49 Dewan Rakyat, yang perlu melalui peringkat bacaan pertama (mengemukakan usul, perbahasan, pengundian), bacaan kedua (usul menjadi RUU, perbahasan, pengundian) dan bacaan kali ketiga (RUU diangkat ke Dewan Negara), sebelum diwartakan.

Setakat ini, RUU 355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul sahaja tanpa perbahasan.

Lihat Komen
ADS