Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan pindaan kes Najib ubah laporan audit 1MDB

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan permohonan pendakwaan bagi meminda tuduhan berkaitan tuduhan ke atas Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa mengganggu laporan audit firma berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan pindaan kepada tuduhan berkenaan yang dibuat oleh ketua pendakwaaan, Gopal Sri Ram tidak menyebabkan prejudis kepada tertuduh.

Hakim mengambil maklum bahawa pindaan itu dikemukakan hanya pada hari kelapan selepas perbicaraan dimulakan pada peringkat pendakwaaan.

Katanya, hanya tujuh saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan dan mereka belum diperiksa balas sepenuhnya oleh pasukan peguam pembelaan Najib.

"Saya yakin pihak pembelaan mempunyai waktu dan peluang mencukupi untuk menyiapkan kes mereka berdasarkan pindaan terhadap tuduhan.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikannya,” katanya.

Jurubahasa mahkamah kemudian membacakan tuduhan yang dipinda itu kepada Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya dan Arul Kanda yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.

Najib, 67, dan Arul Kanda, 43, bagaimanapun, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan perkataan "yang telah disediakan" dalam pertuduhan sebelum ini ditukar kepada "yang telah dimuktamadkan" dan juga perkataan "sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan" (dalam pertuduhan sebelum ini) ditukar kepada "sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula".

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS