Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Projek Wawasan Rakyat (POWR) merasa prihatin terhadap hala tuju politik semasa Malaysia.

Kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau akan meninggalkan 'Pakatan Harapan Plus' kerana PKR enggan menyokong beliau sebagai calon perdana menteri adalah gejala politik personaliti feudal yang sangat tidak sihat untuk negara kita.

Membina 'pakatan' semata-mata untuk mengangkat seorang individu sebagai perdana menteri adalah seumpama membina sebuah rumah di atas pasir yang rapuh.

POWR diasaskan di atas tiga prinsip utama. Pertama, mana-mana gerakan sosio-politik di Malaysia mesti dibina di atas asas nilai serta prinsip yang kukuh.

Tanpa nilai dan prinsip sebagai tonggak utama, adalah sukar untuk sebarang gerakan, organisasi, atau pakatan untuk bertahan lama. Sebuah gerakan yang hanya dibina seputar kepentingan seseorang individu akan berdepan kejatuhan, sebagaimana jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan pada awal tahun ini.

'Perdebatan' politik di Malaysia pada hari ini hanya berlegar kepada persoalan siapakah tokoh politik induk yang mendapat sokongan, dan siapa yang dapat dilantik ke jawatan yang lumayan dan menguntungkan.

Malangnya, tiada perbincangan yang bermakna daripada mana-mana pihak berkenaan dasar, idea, atau visi yang lebih kukuh untuk Malaysia.

Prinsip yang kedua dalam POWR adalah komitmen kepada demokrasi yang sebenar, dan pemencaran kuasa (desentralisasi). Dalam situasi 'zero sum game' hari ini (keuntungan satu pihak merugikan pihak lain), jumlah kuasa yang terlalu banyak diberikan kepada individu yang memegang jawatan perdana menteri.

Situasi ini akan menyebabkan ramai ahli politik yang akan melakukan apa sahaja dalam perebutan untuk menjadi perdana menteri, sehingga mengkesampingkan perkara lain yang lebih utama.

Malahan, jemaah Kabinet pun bukan platform yang mampu digunakan oleh para pemimpin untuk mengurus dan menyantuni pandangan yang berbeza, kerana keseluruhan Kabinet boleh dilantik dan disingkir atas kehendak perdana menteri.

Prinsip utama POWR yang ketiga adalah keyakinan terhadap perpaduan nasional, dan fakta bahawa kita akan menjadi lebih kuat jika kita bersatu padu.

Politik di Malaysia perlu memberikan tumpuan kepada bagaimana kita boleh bekerjasama untuk mengangkat sebanyak mungkin suara dan pandangan ke tempat yang sewajarnya.

Kita boleh dan seharusnya mencipta kaedah baru untuk memastikan pemencaran kuasa (desentralisasi) berlaku, agar persoalan siapa yang akan memegang jawatan apa akan menjadi persoalan kedua.

Sebaliknya, perkara yang menjadi persoalan utama adalah bagaimana pemimpin yang mempunyai integriti dan bersih dari segi nilai, boleh tampil bersama untuk mengamalkan keputusan yang diputuskan secara konsensus.

Tambahan pula, rakyat Malaysia menolak kewujudan budaya politik tidak sihat yang hanya berkisar kepada personaliti dan pembinaan gerakan yang hanya berlegar tentang cita-cita individu. Masa hadapan Malaysia tidak boleh hanya berkisar seputar pembalasan dendam atau obsesi seseorang individu.

Memberikan fokus yang terlalu banyak kepada bagaimana mandat daripada PRU 14 lalu dirampas, tidak akan membantu sesiapa untuk mendapatkan mandat yang lebih baik dan selamat pada PRU 15 yang akan datang. Kita perlu melangkah ke hadapan, bukan mundur ke belakang.

Krisis ini adalah peluang besar untuk kita kembali merancang strategi dan bersatu padu bagi membina sebuah gerakan yang merentas parti politik, badan-badan masyarakat madani serta semua lapisan masyarakat.

Kuasa untuk menilai dan mendefinisikan semula makna politik terletak pada tangan kita semua, dan sudah tiba masanya kita melangkah maju ke arah masa depan yang lebih inovatif dan berani.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan penyelaras Projek Wawasan Rakyat (PoWR).

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS