Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Datuk Seri S Samy Vellu dan mendakwa bahawa projek-projek yang dikemukakan oleh Kementerian Kerjaraya ketika beliau menjadi Menteri Kewangan sering 'bermasalah'.

Kerana itu, katanya, apabila berhadapan dengan cadangan dari Kementerian Kerja Raya, para pegawainya terpaksa menelitinya dengan lebih berhati-hati.

"Tidak seperti cadangan-cadangan dari kementerian lain, cadangan-cadangan dari Kementerian Kerjaraya yang diterajui Samy Vellu selalu berdepan dengan masalah di Perbendaharaan.

"Para pegawai kementerian telah diingatkan supaya lebih berhati-hati apabila menteri menunjukkan minat terhadap sesuatu projek itu. Oleh itu, apabila Samy Vellu menunjukkan minat terhadap sesuatu projek, ia menimbulkan kecurigaan di kalangan para pegawai," kata beliau dalam sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, mana-mana projek yang melibatkan campurtangan Samy Vellu (foto) akan diteliti sepenuhnya, selari dengan syor yang dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu.

"BPR sentiasa mengarahkan para pegawai lebih berhati-hati apabila menilai tender. Jadi kalau Samy Vellu hendak tahu mengapa sebahagian projeknya dikaji semula, ia adalah kerana Perbendaharaan mencurigai kesahihan projek-projek berkenaan, selain mematuhi prosidur pemilihan tender. Jadi Samy cari penyakit la!" tambah Anwar.

Bekas Menteri Kewangan itu membuat penjelasan tersebut bagi mengulas kenyataan Samy Vellu semalam bahawa pemilihan Perangsang International Sdn Bhd (PISB) sebagai kontraktor projek Menara Matrade dibuat oleh Kementerian Kewangan, dan bukan oleh kementeriannya.

Projek Kementerian Pendidikan

Menurut Samy Vellu, kementeriannya mencadangkan pembinaan Menara Matrad diberikan kepada Ireka Construction Berhad tetapi Kementerian Kewangan tidak bersetuju, sebaliknya memilih PISB.

Projek Matrade mencetuskan kontroversi apabila kontraktornya PISB, anak syarikat kerajaan negeri Selangor, gagal menyiapkan projek itu mengikut jadual hingga menyebabkan kos pembinaannya melambung naik kepada RM287.5 juta.

Projek tersebut yang dimulakan pada tahun 1994 hanya berjaya disiapkan awal tahun ini oleh kontraktor baru, sedangkan ia sepatutnya disiapkan pada 1997. PISB telah didenda sebanyak. RM159.8 juta kerana kegagalan menyiapkan projek itu dalam tempoh sepatutnya tetapi sebelum sempat denda itu dibayar, PISB telah dijual serta ditukar nama dan 'gulung tikar'.

Anwar mahu 'skandal Matrade' itu disiasat dengan teliti bagi memastikan sama ada berlaku perbuatan rasuah atau perbuatan jenayah dalam pengurusan dan pembinaan projek tersebut.

Katanya, siastan teliti perlu dilakukan supaya pihak yang bertanggungjawab dalam skandal ini boleh dikenakan hukuman sewajarnya.

"Tiada siapa patut lepas dari hukuman jika ada berlaku jenayah dalam Matrade, MRR2 atau mana-mana pembinaan projek Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Anwar juga menjelaskan beliau tidak terbabit dalam pemilihan kontraktor berkenaan kerana proses pemilihan dibuat oleh jawatankuasa tender yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan.

Timbalan menteri berkenaan ketika PISB dipilih sebagai kontraktor Matrade ialah Datuk Abdul Ghani Othman yang kini menjadi Menteri Besar Johor.