Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH masih perlu bincang pencalonan Shafie sebagai PM, kata DAP dan Amanah
Diterbitkan:  Jun 27, 2020 6:58 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Cadangan untuk mencalonkan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP serta Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.

Dalam kenyataan bersama, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pertemuan dengan Dr Mahathir pada Khamis lalu merupakan pertemuan tidak rasmi.

"Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen (pilihan) baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Walaubagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama," katanya.

Terdahulu, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa pertemuan pada Khamis lalu, beliau, Mohamad, Lim, Shafie, dan pemimpin DAP yang lain bersetuju untuk mencalonkan presiden Warisan itu sebagai perdana menteri.

Perkembangan ini hadir ketika PH terus berada dalam kebuntuan berhubung calon perdana menteri dalam usaha mengambil alih semula kerajaan pusat, dengan PKR yang menolak Mahathir dan menegaskan Anwar sebagai calon perdana menteri.

Ketika dihubungi, pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Mohamad telah memberitahu pihaknya pagi ini bahawa akan diadakan pertemuan untuk membincangkan perkara itu.

Ditanya mengenai pendapat peribadinya mengenai cadangan mencalonkan Shafie sebagai perdana menteri, Khalid menjawab: "Kebuntuan tidak menguntungkan siapa pun.

"Kita mesti mencari jalan untuk menyelesaikannya, jadi apa sahaja cadangan mesti dipertimbangkan, dan mungkin kita mesti menetapkan syarat dan apa sahaja.

"Kita mesti mencari jalan keluar," tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi PKR untuk mendapatkan komen.

PH memberi gambaran akan mengambil alih kuasa dari Perikatan Nasional.

Namun, kebuntuan terhadap calon perdana menteri telah merencatkan rancangan ini.

PKR mengatakan bahawa ia tidak mempercayai Mahathir untuk memenuhi janji menyerahkan kuasa setelah enam memegang jawatan perdana menteri kembali.

Bagiamanpun, DAP dan Amanah berpendapat bahawa PH tidak mungkin mendapatkan sokongan yang cukup tanpa Mahathir.

Shafie juga menolak cadangan untuk Anwar diangkat menjadi perdana menteri.

Pada masa itu, Shafie dicadangkan sebagai calon timbalan perdana menteri, tetapi ketua menteri Sabah itu menafikan bahawa beliau menginginkan jawatan peringkat persekutuan.

Lihat Komen
ADS