Malaysiakini
BERITA

‘Usul Muhyiddin singkir speaker tidak bertentangan perlembagaan’

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jun 2020, 10:12 pagi

Pensyarah undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mengesahkan usul Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menamatkan khidmat Speaker, Mohamad Arif Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming tidak bertentangan dengan perlembagaan.

Katanya, walaupun usul Muhyiddin itu akan menimbulkan persepsi ia satu bentuk campur tangan pihak eksekutif, namun Perkara 57 (2)(c), Perlembagaan Persekutuan membenarkannya.

"Apa yang dikatakan Speaker, Mohamad Ariff selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Tidak timbul isu campur tangan eksekutif," katanya yang dipetik oleh portal BH Online, hari ini.

Semalam, Mohamad Ariff mengesahkan menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai speaker Dewan Rakyat ditamatkan. Beliau berkata turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga sebagai timbalan speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Mengulas lanjut pakar perlembagaan UIAM itu berkata, pembangkang berhak mempersoalkan keputusan Dewan Rakyat di mahkamah seperti dalam krisis politik Perak 2009.

Gambar fail - Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

"Walaupun kes berlaku di DUN, peruntukan perlembagaan Perak lebih kurang sama dengan Perkara 57 Perlembagaan," katanya.

Portal itu turut memetik pensyarah kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Faridah Jalil yang melontarkan pandangan sama.

Beliau juga mengakui usul berkenaan sejajar dengan perlembagaan.

Katanya, tanggapan perdana menteri sebagai ketua eksekutif campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa juga bersifat subjektif kerana perdana menteri juga seorang ahli parlimen yang berhak mengemukakan usul di Dewan Rakyat.

"Memang Perdana Menteri memerlukan sokonan daripada Speaker tetapi tidaklah sampai mengawal Speaker. Konsep pengasingan kuasa mesti dipelihara.

"Namun, peruntukan Perlembagaan tidak menyatakan perlu ada alasan atau sebab untuk membawa usul menamatkan khidmat Speaker. Memadai Dewan Rakyat yang membuat ketetapan," katanya kepada BH Online.

Nga sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menghormati keputusan yang dibuat Dewan Rakyat sama ada mahu beliau dan Mohamad Ariff terus kekal atau melepaskan jawatan mereka mengikut perlembagaan dan peraturan parlimen.

Semalam, ahli parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong dari Warisan menyifatkan usaha Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan speaker dan timbalannya bagi mengelak usul undi tidak percaya terhadapnya dibentangkan.

Kata Liew, tidak ada sebab untuk menyingkirkan Mohamad Ariff dan Nga, kerana kedua-dua mereka telah menjalankan tugas dengan profesional.

Ini katanya terbukti apabila anggota parlimen pertama yang diarah keluar dewan selepas pilihan raya Umum ke-14 adalah wakil rakyat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Usul ini akan menjadi ujian pertama sokongan Muhyiddin di Dewan Rakyat sejak berkuasa pada Mac lalu.

Pada Mei lalu, Mohamad Ariff menerima usul tidak percaya anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun tidak diketahui bila usul itu akan dapat dibentangkan kerana urusan kerajaan kebiasaannya akan diutamakan semasa persidangan Dewan Rakyat.

Usaha untuk menggantikan speaker bukan kali pertama berlaku.

Pada Mei 2009, speaker DUN Perak V Sivakumar diheret keluar daripada kerusi speaker.

Dewan kemudian mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memilih untuk menggantikan Sivakumar dengan R Ganesan.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa keputusan DUN Perak adalah "muktamad" dan "ditentukan secara adil.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.