Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 MP PKR sokong gesaan DAP, Amanah tolak Hamzah
Diterbitkan:  Jun 29, 2020 6:27 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Dua wakil rakyat PKR menyuarakan sokongan terhadap pendirian DAP dan Amanah untuk menolak sebarang kerjasama dengan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah masing-masiing menyuarakan persetujuan dengan DAP dan Amanah di Twitter.

Pagi ini, Sivarasa mengongsikan satu laporan berita tentang kenyataan bersama DAP dan Amanah sebelum menyusul dengan satu ciapan berbunyi: “Saya setuju dengan rakan-rakan PH DAP dan Amanah dalam hal ini.”

Maria menyusul tidak lama kemudian. Apabila seorang pengguna Twitter membalas ciapannya dengan mencadangkan bahawa “berurusan dengan Dr Mahathir dan Hamzah adalah hal yang sama”, Chin berkata sebaliknya.

“Hamzah dan lain-lain merancang rampasan kuasa (coup). Anda mahu menjadikannya satu kelaziman? Tak pernah (saya) dengar dari mana-mana di seluruh dunia bahawa rampasan kuasa itu okey,” katanya.

Apabila dihubungi, Marian enggan mengulas lanjut pandangannya manakala Sivarasa belum memberi respons kepada Malaysiakini yang meminta maklum balasnya.

Kenyataan terbuka Sivarasa dan Maria di tegah PKR mengarahkan anggotanya agar tidak mengeluarkan kenyataan yang berisiko menjejaskan hubungan dalam PH.

Kebelakangan ini, kepemimpinan tertinggi DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan bersama terhadap PKR, antaranya mendakwa parti itu melengah-lengahkan soal calon perdana menteri gabungan itu.

Maria tidak mempunyai apa-apa kedudukan di dalam parti manakala Sivarasa adalah ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pada akhir 2018, Sivarasa menduduki tangga kelima dalam pemilihan MPP parti dan pada ketika itu beliau dilihat menyokong Azmin Ali, yang meninggalkan PKR pada Februari lalu.

Azmin dan Hamzah disebut-sebut sebagai dalang Langkah Sheraton yang menyebabkan tumbangnya kerajaan PH dan memberi laluan kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam, DAP dan Amanah menegaskan bahawa mereka akan menolak sebarang perjanjian atau percubaan untuk membuat perjanjian dengan Hamzah kerana dia kini bersekutu dengan musuh PH yang lawan mereka pada PRU lalu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim disahkan telah berjumpa dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin dan Hamzah - kedua-duanya dianggap seteru oleh DAP dan Amanah- meskipun perincian tentang perjumpaan itu masih belum diketahui.

Bercakap kepada pemberita semalam, Anwar mengakui perjumpaan itu memang berlaku tetapi menegaskan dia telah melaporkannya kepada Majlis Presiden PH dan dia tidak “berkomplot di belakang” rakan-rakannya.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, DAP dan Amanah sekali lagi berkata mereka menolak sebarang kerjasama dengan Hamzah selepas mengambil kira peranannya sebagai dalang Langkah Sheraton.

DAP dan Amanah serta Maria dan Sivarasa dilihat menyasarkan Anwar yang sebelum ini mendakwa pertemuan dengan Hamzah bagi membincangkan perkembagan semasa dan hal ehwal Kementerian Dalam Negeri.

Lihat Komen
ADS