Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang Dewan Rakyat Julai: 'Insya-Allah', kata Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin bersikap positif berhubung persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula 13 Julai ini.

Ketika ditanya adakah kemungkinan berlaku penambahan jumlah anggota parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Zuraida membalas: 'Insya-Allah'.

Bagaimanapun, Zuraida tidak menjelaskan adakah itu bermakna akan ada pertambahan wakil rakyat di blok kerajaan atau kekal seperti sedia ada.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Cheras Kuala Lumpur hari ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung sehari pada 18 Mei lalu, seramai 114 anggota parlimen duduk diblok kerajaan berbanding 108 anggota parlimen di blok pembangkang.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dilapor berkata beliau diberi kerusi di blok kerajaan walaupun masih merupakan ahli parlimen pembangkang.

Ini menjadikan jumlah kerusi PN di Dewan Rakyat berkurang kepada 113 kerusi pada masa itu dengan kelebihan satu kerusi iaitu lebih satu daripada majoriti mudah 112 kerusi.

Sejak itu, pihak pembangkang dan kerajaan berlumba-lumba menarik sokongan wakil rakyat.

Terbaru, Anggota Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang bertindak menyertai Bersatu selepas mengumumkan keluar daripada PKR pada 5 Jun.

Pada PRU14 yang lalu, beliau menang kerusi tersebut sebagai calon Bebas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh yang dikatakan bakal menyertai pembangkang selepas meletak jawatan sebagai timbalan menteri Kerja Raya mengumumkan kekal bersama Bersatu.

Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini berlangsung hanya sehari bagi mendengar Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Zuraida dilihat enggan memberikan komen ketika ditanya kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan.

"Saya tidak tahu. Mereka berdua masih bertengkar bagi tempoh yang panjang.

"Saya tak nak melibatkan dan membawa masalah. Biar saya menumpukan tugas saya sahaja dan menjadikan kerajaan PN sebagai kerajaan yang baik," katanya.

Lihat Komen
ADS