Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail diminta jelaskan nasib Kertas Putih Kementerian Pertahanan
Diterbitkan:  Jul 1, 2020 7:02 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong meminta Menteri Pertahanan Ismail Sabri untuk menjelaskan rancangan jangka panjangnya untuk kementerian itu dan apakah nasib Kertas Putih yang dihasilkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Kata Liew, baru-baru ini Ismail Sabri telah mengeluarkan kad laporan 100 hari, tetapi tidak menyentuh mengenai masa depan Kementerian Pertahanan untuk jangka masa panjang.

“Kad laporan 100 hari yang dihasilkan oleh menteri pertahanan baru-baru ini hanyalah wayang untuk menunjukkan aktiviti harian ketika melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di peringkat-peringkat berbeza.

“Bagaimanapun, ia gagal menjelaskan jalan ke hadapan untuk kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani cabaran-cabaran strategik lain yang turut menekan.

“Walaupun pengurusan PKP untuk memerangi Covid-19 merupakan tugas penting dan rumit, ia bukanlah satu-satunya tanggungjawab menteri,” kata Liew yang juga seorang senator, dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri juga merupakan menteri kanan yang bertanggungjawab mengawasi PKP bagi membendung penularan Covid-19.

Kertas Putih Kementerian Pertahanan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen Disember tahun lalu. Ia merencana rancangan pertahanan negara untuk tempoh sepuluh tahun ke hadapan.

Kata Liew, Ismail Sabri pada Mac ada membuat kenyataan bahawa beliau mengambil maklum akan Kertas Putih berkenaan dan berkata akan menggunakannya sebagai panduan.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan yang baru terbentuk ini adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi.

“Pertahanan negara adalah satu agenda yang tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang telah dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan,” Ismail Sabri dilaporkan berkata.

Kerajaan PN mengambil alih pentadbiran negara ekoran kerajaan PH tumbang selepas kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Liew berkata dia dan menteri pertahanan ketika itu Mohamad Sabu sudah pun berada dalam peringkat bersiap sedia untuk melaksanakan Kertas Putih berkenaan apabila kerajaan PH tumbang.

“Kerajaan PN perlu buat lebih lagi daripada hanya sekadar menunjukkan yang ia mampu mengendalikan aktiviti harian.

“Ia (PN) perlu bersedia untuk berdepan dengan isu sistem dan persoalan jangka panjang bagi menyediakan arah tuju buat ATM dan negara.

“Mengiktiraf Kertas Putih Pertahanan sebagai rangka kerja panduan dapat menbantu menjelaskan lagi arah tuju di masa hadapan,” kata Liew.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS