Malaysiakini
BERITA

Mokhtar Senik: Saya akan bermunajat kepada Allah malam ini

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jul 2020, 9:39 pagi

Ulama PAS Mokhtar Senik meluahkan rasa geramnya susulan serangan yang disifatkannya “politik secara yang paling tidak bertamadun”.

“Anda boleh maki dan kutuk saya berapa puluh gantang pun yang anda mahu. 

"Kerana saya sudah sedia maklum anda berpolitik secara yang paling tidak bertamadun.

“Tapi jangan melampau. Sampai sudah tidak tinggal sisa lagi kehormatan saya maka tiada cara lagi selain saya menyebut nama kamu dalam pengaduan saya kepada tuhan,” katanya.

Menulis di Facebook, Mokhtar berkata, walaupun pihak itu bersembunyi di sebalik nama atau akaun palsu, tuhan mengetahui apa yang disembunyikan.

“Mulai malam ini, nama kamu akan saya sebut saat saya bermunajat kepada Allah.

“Agar Allah memisahkan roh kamu dari jasad kamu,” katanya.

Anggota jawatankuasa pusat PAS itu juga berkata Allah tahu bahawa dia tiada sebarang kesalahan pada individu itu.

“Saya mohon seluruh teman yang mengenali saya aminkan doa saya ini setiap malam. 

"Moga menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya yang menyebut laporan polis telah dibuat.

Kelmarin, pentadbir Facebook Mokhtar memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat, tetapi tidak menyebut secara khusus kandungannya.

Minggu lepas beliau mendakwa terdapat pihak menyalah guna nombor telefonnya.

Mokhtar sejak minggu lalu berdepan serangan di media sosial, khususnya oleh seorang pengguna yang menggunakan nama Alexander Pittsuwan Thomprason.

Alexander Pittsuwan Thomprason

Malaysiakini tidak melaporkan dakwaan terperinci berkaitan Mokhtar sementara menunggu maklum balasnya.

Portal ini telah berusaha menghubunginya sejak minggu lalu, termasuk melalui media sosial.

Sementara itu, Alexander pula berkata dia sedia berdepan Mokhtar di mahkamah.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.