Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrir Samad: Banyak lagi perlu selesai sebelum pilih Muhyiddin calon PM
Diterbitkan:  Jul 4, 2020 7:18 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Pemimpin Umno Shahrir Samad berkata banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan sebelum memutuskan calon perdana menteri untuk pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Beliau mengulas keputusan Umno bersama PAS yang menyatakan sokongan bagi Muhyiddin Yaasin supaya kekal menyandang jawatan perdana menteri.

"Apabila sudah diistiharkan Presiden Bersatu (Muhyiddin) sebagai calon PM apabila diadakan PRU15, tentunya akan banyak kuasa penentu yang dipegang oleh seorang bakal PM.

"Adakah pengerusi BN sendiri mampu menolak keputusan bakal PM apabila digunakan kuasa penentu itu dan ianya disokong kuat oleh pemimpin parti-parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional?

"Banyak lagi yang perlu diselesaikan sebelum hendak putuskan siapa bakal PM pada PRU15," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini

Bekas ahli parlimen Johor Bahru itu juga menyoal sejauh manakan kekuatan Muhyiddin selepas "Kerusi (parlimen) asal Bersatu tinggal 11 selepas kalah calonnya di PRK Tanjung Piai."

"Selesakah bakal PM kita tu? 

"Kalau BN dan PAS sudah tahu jumlah undi masing-masing di PRU14, berapakah undi asas bagi Bersatu di setiap kawasan yang ditandingi,” soal Shahrir.

Terdahulu, Umno dan PAS secara prinsip bersetuju untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa, berkata keputusan itu dibincang dalam mesyuarat bersama baru-baru ini.

Keputusan Muafakat Nasional itu mendapat sindiran parti Putra pimpinan Ibrahim Ali yang menyifatkan Umno dan PAS hanya tahu "berkokok" namun tiada calon perdana menteri.

Malah, portal The Straits Times Singapura melaporkan beberapa pemimpin Umno mempersoalkan keputusan pemimpin parti itu mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Sementara itu, Shahrir turut mempersoalkan kedudukan orang kanan Bersatu dalam kerajaan selepas PRU15 iaitu kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Kalau Muhyiddin telah diistyihar bakal perdana menteri macam mana pula kedudukan orang kanannya dalam kerajaan dan Bersatu?

“G10 (kumpulan Azmin) bagaimana pula? Azmin pun orang penting juga,” katanya lagi.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) belum didaftarkan secara rasmi dan beberapa pemimpin kanan Umno sebelum ini menyuarakan keberatan untuk ke arah itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum ini juga dilaporkan menolak penubuhan PN.

Menurut Shahrir lagi, Umno dan PAS melangkah dengan begitu cermat dalam Muafakat Nasional.

"Tidak pun sampai isytihar calon PM," katanya.

Lihat Komen
ADS