Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Parlimen Digital perlu diraikan, bukan ditekan'
Diterbitkan:  Jul 5, 2020 11:03 AM
Dikemaskini: 3:06 AM

Pelaksanaan Parlimen Digital yang digerakkan anak muda sepatutnya diraikan, bukannya dikekang pihak berkuasa, kata Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei.

"Kami kira adalah tidak wajar ahli-ahli Parlimen digital dipanggil oleh pihak berkuasa dan diminta menjelaskan penyertaan mereka.

"Anak muda perlu diberi ruang bersuara dan menyumbang idea untuk membina negara. Kami berharap agar ahli-ahli Parlimen digital bebas berbahas tanpa sebarang tekanan dari pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini,

Kenyataan itu susulan sebahagian wakil inisiatif Parlimen Digital dilaporkan telah dihubungi pihak polis semalam.

Sebab-sebab pihak polis menghubungi mereka setakat ini tidak jelas dan pihak penganjur dijangka akan mengeluarkan kenyataan penuh.

"Kami tidak tahu mengapa tetapi mereka meminta maklumat peribadi (peserta) dan apa yang berlaku," kata seorang anggota sekretariat Parlimen digital kepada Malaysiakini.

Sesi semalam dipengerusikan oleh peguam perlembagaan Lim Wei Jiet berakhir sekitar jam 12 tengah hari dengan 222 perwakilan menyampaikan usul mengenai perlunya kerajaan melancarkan pakej penggalak ekonomi yang disasarkan khusus untuk golongan muda.

Dalam pada itu, Lim menyuarakan pujian terhadap inisiatif itu dan menggesa Kementerian Belia dan Sukan turut menyokongnya serta membawa idea dan hujah mereka kepada kerajaan.

"Saya telah bertemu dengan ahli-ahli Parlimen digital yang mewakili Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah. Bagi kebanyakan peserta, Parlimen digital merupakan pengalaman pertama mereka mendampingi isu berkaitan demokrasi dan urus tadbir negara.

"Mereka mengambil inisiatif untuk bertemu dengan wakil rakyat dan pemimpin baik pihak kerajaan atau pembangkang. Mereka bijak dan mempunyai idea segar, bukan hanya berlandaskan idealisme tetapi dengan kajian sendiri dan statistik pelbagai sumber rujukan," katanya.

Sharan Raj

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Pusat PSM Sharan Raj mengecam tindakan polis tersebut.

"Mereka hanya menyuarakan pandangan berkenaan isu-isu negara secara aman.

"Polis terikat dengan Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi kebebasan mereka untuk bersuara. Tindakan menghubungi mereka boleh mewujudkan suasana intimidasi," katanya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga mengkritik tindakan itu dan menggesa Kementerian Dalam Negeri dan polis menghentikan tekanan dan memberikan penjelasan.

"Perkembangan ini ternyata merunsingkan tatkala anak-anak muda Parlimen Digital diganggu pihak berkuasa, di mana mereka sepatutnya diberi dorongan dalam meraikan demokrasi," katanya di Twitter.

 

Lihat Komen
ADS