Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ahli Parlimen Digital' dihubungi polis, dakwa penganjur

Beberapa orang wakil daripada inisiatif Parlimen Digital yang digerakkan kumpulan belia telah dihubungi polis selepas mereka menamatkan sidang maya hari ini, dakwa pihak penganjur.

Sesi sidang Parlimen Digital dipengerusikan peguam perlembagaan Lim Wei Jiet berakhir sekitar jam 12 tengah hari tadi dengan 222 wakil meluluskan usul kerajaan perlu melancarkan pakej rangsangan ekonomi yang khusus mensasarkan golongan muda.

Setakat ini, tidak jelas sebab-sebab polis menghubungi mereka walaupun pihak penganjur dijangka akan mengeluarkan kenyataan penuh esok.

"Kami tidak tahu mengapa, hanya mereka meminta maklumat peribadi (peserta) dan apa yang berlaku," kata seorang anggota sekretariat Parlimen Digital kepada Malaysiakini.

Setiap 222 peserta dipilih untuk mewakili kawasan parlimen mereka yang mencerminkan persidangan Dewan Rakyat.

Anggota sekretariat Parlimen Digital yang lain memberitahu Malaysiakini bahawa setakat ini tidak ada jawatankuasa penganjur yang dihubungi pihak berkuasa.

Sebaliknya, polis tempatan dari kerusi parlimen berkenaan telah menghubungi perwakilannya, dengan sekurang-kurangnya lima orang daripada lebih 50 wakil yang bercakap awal hari ini didakwa dihubungi melalui media sosial termasuk di Instagram.

Malaysiakini difahamkan bahawa Parlimen Digital akan meneruskan sesi kedua dan terakhirnya mulai jam 9 pagi esok seperti yang dirancang.

Parlimen Digital yang pertama dianjurkan oleh tiga organisasi politik belia yang diketuai oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia.

Antara lain, idea itu dikemukakan untuk membuktikan sidang parlimen secara maya dapat berlangsung. Ini selepas persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dipendekkan menjadi satu hari kerana wabak Covid-19.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS