Malaysiakini
BERITA

Putrajaya digesa campur tangan isu asing jantina di pawagam T'ganu

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Jul 2020, 3:51 petang

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri perlu meminta kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin PAS untuk membatalkan arahan berkenaan pengasingan jantina di pawagam, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming.

Menurut beliau, kerajaan persekutuan tidak wajar berdiam diri berkenaan perkara tersebut yang mungkin memberi kesan terhadap kemajmukan budaya di Malaysia.

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu berundur ke belakang dengan melaksanakan perintah pengasingan jantina yang mungkin menggambarkan imej buruk buat negeri itu, kata timbalan speaker Dewan Rakyat itu hari ini.

Jelas Nga, tiada pawagam dalam negara yang melaksanakan peraturan bagi mengasingkan lelaki dan wanita.

Untuk rekod, Kelantan yang ditadbir PAS tidak mempunyai panggung wayang sejak hampir 30 tahun lalu.

Jabatan Pelancongan Terengganu telah melaksanakan garis panduan syariah bagi penganjur program pada 2018.

Awal tahun ini, Wanita MCA turut menggesa pihak berkuasa supaya meneliti arahan yang melampau dan diskriminasi.

Pada 1 Julai lalu, pawagam yang beroperasi di Kuala Terengganu mengumumkan perlaksanaan pengasingan jantina seperti diarahkan oleh majlis perbandaran di negeri itu.

Mengulas lanjut, Nga juga berkata arahan itu juga perlu mempertimbangkan kegiatan menonton wayang juga adalah riadah keluarga.

“Statistik kementerian dalam negeri menunjukkan bahawa pawagan adalah tempat hiburan buat keluarga bukan tempat jenayah.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri ini telah mengasingan pasangan berkahwin, bapa dan anak, ibu dan anak. Adakah ia wajar,” soal anggota parlimen Teluk Intan itu.

Nga berkata beliau menyuarakan kebimbangan masyarakat bukan Islam yang khuatir dengan beberapa isu terkini, termasuk penbekuan lesen alkohol baru di Kuala Lumpur dan pengasingan jantina di pawagam Terengganu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.