Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas menteri pengangkutan seru lebih ramai pihak gesa jajaran ECRL baru diteruskan
Diterbitkan:  Jul 6, 2020 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke menyeru lebih ramai pihak tampil menyatakan pendirian agar jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang direncana ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah diteruskan.

Loke berkata demikia sebagai mengulas laporan media berhubung kemungkinan projek itu dikembalikan ke jajaran asal ketika kerajaan persekutuan di bawah BN.

"Saya menyeru lebih banyak pihak untuk menyatakan pendirian mereka supaya jajaran baru ini dapat diteruskan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan itu, Loke yang juga ahli parlimen Seremban menyorot semula faktor yang dipertimbangkan PH sebelum ini ketika mengubah jajaran cadangan BN.

Jelas Loke, di bawah jajaran cadangan PH, kos projek dapat diturunkan sehingga RM44.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

"Penjimatan sebanyak RM21.5 bilion. Penjimatan ini boleh dimanfaatkan untuk projek-projek infrastruktur pengangkutan yang lain.

"Jajaran baru ini dapat mengurangkan kos kerana ia dapat mengelak daripada membina satu terowong sepanjang 18km di Banjaran Titiwangsa merentasi Genting Highlands ke Gombak," katanya.

Selain itu, tambah Loke, jajaran cadangan PH juga dapat menyelamatkan Klang Gate Quartz Ridge yang bakal dimusnahkan sekiranya terowong tersebut di Banjaran Titiwangsa dibina.

Kawasan tersebut merupakan khazanah semula jadi negara yang bakal diiktiraf oleh UNESCO, tegasnya.

Loke juga berkata bahawa daerah-daerah yang kurang membangun di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor akan mendapat tempias pembangunan di bawah jajaran berkenaan.

Pada April tahun lalu, Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu menjelaskan bahawa jajaran asal diubah PH atas pertimbangan sistem ketersambungan dan alam sekitar.

Untuk rekod, di bawah jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.

Jajaran cadangan PH tidak akan melalui Bentong dan Gombak, sebaliknya, ia menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Pada 4 Julai lalu, The Edge memetik sumber seorang pegawai di Malaysia Rail Link Sdn Bhd - syarikat yang merupakan pemilik projek ECRL - berkata cadangan mengembalikan jajaran asal telah dibincangkan di dalam mesyuarat majlis kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Bagaimanapun, ia dipertikaikan oleh wakil rakyat, termasuk dari Anggota Parlimen Umno Jalaluddin Alias yang mahu Putrajaya mengekalkan jajaran yang diusahakan PH.

Jalaluddin berkata, beliau turut difahamkan cadangan untuk mengembalikan semula jajaran ECRL mengikut pelan asal itu cuma sekadar pandangan Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong.

Wee semalam menafikan tanggapan itu dan sebaliknya berkata cadangan untuk mengembalikan jajaran asal datang dari Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Lihat Komen
ADS