Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PN berundur dari komitmen semak kadar kemiskinan - bekas wakil PBB
Diterbitkan:  Jul 6, 2020 12:18 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Seorang bekas pelapor khas Persatuan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) tentang kemiskinan melampau dan hak asasi manusia mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berundur dalam usaha menyemak semula garis kemiskinan negara - yang menurutnya, pernah mendapat komitmen pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Philip Alston (gambar, atas), yang pernah mencuri perhatian apabila mencadangkan bahawa paras kemiskinan sebenar negara adalah lebih tinggi daripada kadar nasional 0.4 peratus, berkata dakwaannya itu berdasarkan maklum balas PN terhadap laporan akhir yang disediakan hasil daripada lawatannya ke Malaysia Ogos lalu.

“Kerajaan Malaysia yang baru berundur dari komitmen kerajaan terdahulu untuk memandang kemiskinan dengan serius,” katanya.

Laporan daripada lawatan rasmi Alston ke Malaysia tahun lalu, diterbitkan hari ini.

Dia mendakwa PH di bawah pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad telah memberikan komitmen untuk menyemak semula kadar kemiskinan negara sementara PN hari ini menegaskan bahawa mereka “mempertahankan kadar kemiskinan mutlak itu”.

Alston berada di Malaysia dari 11 Ogos hingga 23 Ogos tahun lalu.

Dalam respons awalnya ketika itu, Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji dakwaan bahawa kadar kemiskinan mutlak negara sebenarnya adalah menghampiri 15 peratus. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali, yang pada ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mempertahankan angka 0.4 peratus dan dilaporkan menyifatkan kenyataan Alston sebagai tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab.

Justeru, kata Alston, maklum balas PN terhadap laporan akhirnya bahawa mereka mempertahankan kadar kemiskinan mutlak, mengundang rasa curiga terhadap pelaksanaan perubahan yang sangat diperlukan.

“Pengunduran (pendirian) kerajaan ini sangat membimbangkan kerana garis (kemiskinan) sekarang adalah tidak mencukupi, dan hampir satu dunia akan memandangnya sebagai (angka) rendah yang mengelirukan.

“Kedegilan bahawa garis ini 'dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa' ialah kenyataan yang dibuat untuk mengelirukan, serta mengabaikan ketidakselarian yang terang-terang (wujud) antara realiti dan statistik,” katanya.

"Berpura-pura bahawa hampir tidak ada orang dalam negara yang hidup dalam kemiskinan tidak mengubah realiti bahawa berjuta-juta masih miskin.

“Jaga air muka itu satu hal, tapi memutar belit fakta itu hal yang lain pula,” dakwanya.

Dalam maklum balasnya yang turut dimuatkan di dalam laporan itu, kerajaan dilaporkan berkata bahawa pendapatan garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM980 dikira berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah yang sihat dan aktif, yang melebihi PGK sasaran dalam Matlamat Pembangunan Mampan 1 pada kadar AS$1.25 sehari (RM5.25).

Garis PGK juga adalah lebih tinggi untuk Sabah iaitu pada paras RM1,180 manakala Sarawak pula RM1,020, dengan mengambil kira kos tambahan seperti pengangkutan.

Meskipun menyifatkan kemajuan Malaysia dalam membasmi kemiskinan sejak 40 tahun lalu sebagai mengkagumkan, Alston menegaskan bahawa kadar PGK semasa adalah “ketinggalan zaman dan tak realistik”.

“Jika kerajaan mahu menghapuskan kemiskinan, langkah pertama adalah untuk menyemak semula garis kemiskinan.

“Sesuatu perkembangan memerlukan pemahaman yang lebih baik tentang sifat kemiskinan, terutamanya di kawasan bandar, polisi sosial yang ditambah baik, dan pendekatan baru ke arah populasi yang sekian lama terabai, yang berdepan kadar kemiskinan lebih tinggi,” katanya.

Kerajaan berkata bahawa pelaksanaan polisi bagi mengapuskan kemiskinan melangkaui angka PGK nasional, dengan mengambil kira faktor demografi lain.

“Oleh itu, bantuan dikhususkan berdasarkan keperluan penerima, berdasarkan pemprofilan (profiling) yang dibuat menerusi sistem eKasih, yang merupakan usaha inovatif kerajaan bagi mengenal pasti kumpulan sasaran yang tepat,” katanya.

Berdasarkan pola lima tahun yang menunjukkan penurunan, dengan angka 43,055 isi rumah miskin tegar serta 135,172 isi rumah miskin yang dicatatkan setakat Februari lepas, kerajaan berkata Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan Alston bahawa negara gagal untuk menghapuskan kemiskinan.

‘Berjuta-juta bukan warganegara terkesan'

Sementara itu, laporan Alston turut membangkitkan bahawa berjuta-juta bukan warganegara terkesan oleh kemiskinan, termasuklah imigran, pelarian, penduduk tanpa kerakyatan dan warga Malaysia yang tidak berdaftar.

Antara lain, ia menyatakan bahawa komuniti Orang Asli terus berdepan diskriminasi meskipun telah wujud komitmen yang boleh dipuji untuk menyokong hak mereka.

“Pegawai kerajaan salah faham atau mengetepikan tujuan atau cara hidup mereka (Orang Asli) dengan kekerapan yang membimbangkan.

“Orang Asli mempunyai kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi berbanding populasi umum dan berdepan pelanggaran hak mereka yang berlaku secara berleluasa, rampasan tanah, dan disisihkan daripada sokongan sosial,” kata Alston.

Dalam responsnya terhadap isu berkaitan, kerajaan menafikan wujud diskriminasi terhadap migran dan kumpulan-kumpulan rentan yang lain, terutamanya dalam soal asas seperti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Secara keseluruhan, kerajaan turut menafikan yang Malaysia bertindak ke atas semakan kemiskinan hanya selepas lawatan Alston tahun lalu, dan menegaskan usaha menyemak semula PGK telah bermula semasa semakan tengah penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkan Oktober 2018.

Pengganti Alston, Olivier De Schutter, dijadualkan membentangkan laporan itu kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB esok.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS