Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Presiden PH hari ini memutuskan untuk komited dengan pendirian asal iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Majlis Presiden juga berkata Anwar mempunyai mandat penuh untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Presiden Warisan Shafie Apdal, bagi meneruskan usaha mengambil semula kerajaan persekutuan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan majlis itu hari ini, mesyuarat hari ini turut membincangkan cadangan menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

"Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

"Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie Apdal menyempurnakan pengembalian mandat tersebut," katanya lagi.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ketika ditemui kemudian, Anwar diminta untuk menjelaskan lagi kenyataan itu.

"Mandat bermakna (PH) beri ruang untuk saya buat perbincangan," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung jika perbincangan termasuk berkenaan siapa yang memiliki lebih banyak sokongan, atau jika beliau sanggup memberi laluan kepada Shafie.

"Kenyataan itu jelas," katanya, merujuk kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden PH.

Bermula kira-kira pukul 10.30 pagi, mesyuarat itu disertai pimpinan tertinggi tiga parti PH, termasuk Mohamad Sabu, Lim dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Pada Jumaat lalu, PH dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden minggu ini untuk memutuskan soal calon perdana menterinya.

Ia selepas Amanah dan DAP membuat keputusan bahawa cadangan untuk mencalonkan Shafie perlu dibuat secara bersama di peringkat gabungan.

Nama Shafie dibangkitkan setelah PH dan sekutunya, dipanggil sebagap PH Plus, tidak dapat mencapai konsensus berhubung calon perdana menteri.

Lihat Komen
ADS