Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Apandi - Mahathir mahu Najib ditangkap tidak betul, kata Sri Ram

Gopal Sri Ram menolak dakwaan bekas Peguam Negara Apandi Ali bahawa Dr Mahathir Mohamad cuba menangkap perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 2018.

Bekas hakim mahkamah persekutuan itu juga mengulangi bahawa rujukan dari prosiding mahkamah sebelum ini mengesahkan pelantikannya sebagai TPP dalam kes berkaitan 1MDB ke atas Najib adalah berdasarkan kemampuannya menjalankan pendakwaan dengan adil.

Sri Ram berkata demikian dalam afidavit yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Afidavit itu diajukan susulan afidavit Apandi yang dikemukakan untuk menyokong permohonan Najib untuk menyingkirkan Sri Ram daripada menjadi sebahagian daripada anggota pasukan pendakwaan terhadap Najib dalam kes yang berkaitan dengan 1MDB.

Dalam afidavit itu, Apandi mengulangi dakwaan hampir sama sebelum ini yang dimuat naik ke media sosial, bahawa pada Januari 2018, Sri Ram telah berusaha memujuknya untuk menangkap perdana menteri ketika itu, Najib, atas dakwaan arahan bekas perdana menteri Dr Mahathir.

Antara kes berkaitan 1MDB terhadap Najib adalah perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion dan juga perbicaraan mengganggu laporan audit 1MDB.

Menurut afidavit Sri Ram, beliau menafikan pernah memberitahu Apandi bahawa dirinya dihantar oleh Mahathir untuk menemui Apandi sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangkap Najib.

"Tiada pun pada bila-bila masa sewaktu perbualan kami, saya ada menyebut bahawa saya telah dihantar oleh Tun M (Tun Dr Mahathir)," kata Sri Ram.

"Catatan perbualan yang diberikan oleh Apandi Ali dalam Perenggan 10, 11, 12 dan 13 adalah tidak betul. Perbualan demikian tidak pernah berlaku,” kata Sri Ram.

Perenggan 10, 11, 12 dan 13 merujuk kepada sebagian afidavit Apandi yang mendakwa bahawa Sri Ram cuba memujuknya (Apandi) untuk memainkan peranan dalam menangkap Najib.

Sambil mengesahkan bahawa beliau dan seorang peguam lain ada mengunjungi Apandi di rumahnya pada Januari 2018, Sri Ram berkata bahawa lawatan itu dilakukan secara profesional.

Katanya, Apandi kelihatan kecewa dengan serangan-serang cybertroopers yang berada di dalam pembayaran tertuduh Najib.

“Ketika perjumpaan di rumah mereka, saya memberikan nasihat tertentu yang tertakluk kepada perlindungan profesional undang-undang. Oleh itu, saya tidak dapat menyatakan perkara yang sama.

“Semasa perbualan tersebut, saya telah memasihati Apandi Ali bahawa terdapat keterangan di dalam pengetahuan awam terhadap Najib dan ia jelas merupakan tugas beliau agar Najib ditangkap dan didakwa,” kata Sri Ram.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS