Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrir: Sokongan pada Muhyiddin perlu dijelaskan tak akan rugikan BN
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 10:40 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Veteran Umno Shahrir Samad berkata parti itu perlu menjelaskan bahawa keputusan bersama Muafakat Nasional menyokong Muhyiddin Yassin kekal sebagai perdana menteri tidak akan merugikan BN.

Kata Shahrir, keputusan itu mestilah menjamin kerusi yang akan ditandingi BN, penggunaan lambang serta tawaran kepada pengundi dan rakyat.

"Sebab itu, keputusan mengisytiharkan Muhyiddin perlu dijelaskan sebagai suatu keputusan yang tidak akan merugikan BN dari segi kerusi, penggunaan lambang dan tawaran kepada pengundi dan rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Shahrir memberi contoh situasi di Johor Bahru yang menurutnya menyaksikan Umno terpaksa berkongsi jawatan-jawatan di peringkat kampung dan majlis bandaraya dengan Bersatu dan penyokong Mohamed Azmin Ali.

"Semasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH), jawatan-jawatan di peringkat kampung dan majlis bandaraya dikongsi oleh wakil parti-parti gabungan PH.

"Apabila berubah kerajaan, alih-alih bagi jawatan-jawatan ini, BN bukan saja kena berkongsi dengan Bersatu tapi juga dengan G10, iaitu penyokong-penyokong Mohamed Azmin Ali," katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung BN Annuar Musa hari ini menjelaskan bahawa Umno dan PAS dalam gabungan Muafakat Nasional akan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri jika pilihan raya diadakan secara mengejut.

Bagaimanapun, kata Annuar, beliau tidak dapat menyatakan pendirian Muafakat Nasional pada masa "jauh ke depan".

"Politik ini benda yang dinamik. Pendirian kita sekarang, kita menyokong perdana menteri.

"Jika pilihan raya diadakan secara mengejut, kita bersama perdana menteri. Tapi selepas, itu, jika jauh ke depan, saya tak boleh jawab perkara yang terlalu jauh ke depan," katanya ketika ditemui dalam satu program di ibu kota hari ini.

Sementara itu, dengan mengambil contoh situasi di Johor Bahru, Shahrir khuatir jika kerusi parlimen yang dimenangi PKR dalam pilihan raya umum lalu (PRU14) akan ditandingi calon daripada kumpulan Azmin.

Katanya, andaian itu dibuat kerana ketika ini telah berlaku pemberian kuota jawatan untuk mereka yang menyokong Azmin.

"Apa yang sudah berlaku ialah kerana BN sedang diheret untuk mengiktiraf sebuah Perikatan Nasional (PN).

"Pemimpin PN ialah Muhyiddin. Azmin Ali pemimpin kanannya. Dan bagi PRU15, sudah diisytihar Muhyiddin sebagai PM. Kerusi yang bukan ori (original) PPBM (Bersatu) pun jadi kerusi PN, tapi bukan BN?

"Azmin bagaimana pula? Semua kerusi PKR, G10 (kumpulan Azmin) punya? Wah, wah, wah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS