Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IPT buka sepenuhnya pada Oktober
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 4:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mengumumkan institusi pengajian tinggi (IPT) akan dibuka semula sepenuhnya pada bulan Oktober.

“Jemaah menteri juga bersetuju kemasukan pelajar sepenuhnya adalah pada bulan Oktober 2020,

“Bagi memastikan keputusan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna IPT dan para pelajar dipohon untuk membuat persediaan yang diperlukan mulai dari sekarang.

“KPT berpendapat tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baru dimulakan pada Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak membuat persiapan dan persediaan yang diperlukan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sebelum ini, pada 1 Julai lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memberi gambaran berkenaan pembukaan semula IPT tidak lama lagi, namun meminta rakyat menunggu pengumuman Noraini.

IPT di seluruh negara ditutup ekoran perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu gara-gara Covid-19.

Mengulas lanjut, kata Noraini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan IPT prihatin mengenai masalah yang mungkin dihadapi sebahagian pelajar ekoran pembukaan semula IPT secara sepenuhnya nanti, khususnya berkaitan isu penginapan dan tiket penerbangan untuk kembali ke kampus.

“Justeru semua usaha dan langkah yang diperlukan sedang diambil bagi menangani isu-isu ini.

“Dalam hubungan ini para pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing,” katanya.

Mei lalu, KPT mengeluarkan kenyataan bahawa IPT akan dibuka semula secara berperingkat bermula 1 Julai, namun hanya merangkumi lima kategori pelajar sahaja.

Lima kategori itu ialah pelajar pasca siswazah mod penyelidikan; pelajar semester atau tahun akhir yang perlu melakukan klinikal, praktikal, latihan amali, bengkel, makmal, studio reka bentuk, atau peralatan khusus di IPT; pelajar semester atau tahun akhir yang tiada akses atau tidak berada dalam persekitaran kondusif untuk melakukan PdP dalam talian.

Selain itu, ia turut melibatkan pelajar berkeperluan khas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pelajar baru bagi sesi 2020/2021.

Mengulas mengenai hal itu, kata Noranini, mesyuarat jemaah menteri pada hari ini juga bersetuju untuk membenarkan kemasukan empat lagi kategori pelajar ke kampus secara berperingkat mulai Julai, sebagai tambahan kepada lima kategori pelajar yang diumumkan sebelum ini.

Empat kategori pelajar itu ialah seramai 30 peratus pelajar tempatan di IPTS seperti yang dipohon Persatuan Kolej dan Universiti Swasta; pelajar universiti awam (tahun 1, 2, 3 dan 4) dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih tubi, praktikal, bengkel makmal studio atau peralatan khas serta yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.

Seterusnya, pelajar universiti awam (tahun 1, 2, 3, dan 4) yang tidak mempunyai akses internet atau persekitaran kondusif bagi melaksanakan aktiviti PdP secara dalam talian; serta pelajar antarabangsa dari universiti awam dan IPTS, termasuklah pelajar baru.

“IPT diberi fleksibiliti dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian termasuklah meneruskan PdP secara dalam talian kepada pelajar-pelajar yang terlibat mengikut keperluan program masing-masing,” tambah Noraini.

Kata Noraini lagi, pelajar yang pulang ke kampus diingatkan untuk terus mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri, manakala aktiviti pelajar dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 250 orang tertakluk kepada saiz ruang dan penjarakan sosial.

Aktiviti sukan dan riadah pula, katanya perlu mematuhi prosedur operasi standar (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sementara itu, mengulas mengenai pelajar warga asing, kata Noraini, mereka perlulah berdaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, daripada kira-kira 11,000 pelajar asing yang kini telah pulang ke negara asal ekoran PKP, yang paling ramai adalah merupakan warga Pakistan, Thailand dan Indonesia.

Pelajar-pelajar yang mahu kembali ke kampus di sini, katanya, dikehendaki menjalani ujian saringan di negara asal mereka dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Malaysia, dan kemudiannya akan dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh KKM di pintu masuk negara.

Seterusnya, pelajar-pelajar berkenaan dikehendaki menjalani kuarantin diri sendiri selama 14 hari di lokasi-lokasi yang ditetapkan oleh IPT masing-masing.

“Dia ada dua pekara. Sekiranya tidak ada masalah, maka dia hanya perlu melalui kaunter pemeriksaan di imigresen, dan dibenarkan masuk tetapi ada kuarantin diri sendiri selama 14 hari.

“Tetapi kalau diragui pengesahan pemeriksaan (kesihatan) tersebut, jadinya dia akan diminta untuk membuat saringan semula.

“Ini juga terpakai kepada pelajar-pelajar dari negara berisiko tinggi termasuk dari Indonesia,” katanya lanjut ketika menjawab soalan pemberita.

Lihat Komen
ADS