Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Assalamualaikum ayah, bila Shara boleh sekolah?’

"Ayah, assalamualaikum, budak-budak semua boleh ke sekolah, kenapa kita orang tak boleh ke sekolah? Orang asing yang tak boleh ke sekolah?

“Kita orang pun tak boleh ke sekolah juga? Lambat (lama) tak pergi sekolah, lambat tak jumpa cikgu?”

Demikian keluhan Shara (bukan nama sebenar), seorang kanak-kanak Rohingya berusia enam tahun yang tinggal di Malaysia, dalam pesanan suara melalui Whatsapp kepada bapanya.

Shara belajar di sebuah Tabika Kemas, program prasekolah bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat, sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika Tabika dibuka semula pada 1 Julai lalu, dia tidak dapat meneruskan kembali persekolahan susulan dakwaan terdapat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak penularan Covid-19.

Dikenali sebagai pelajar pintar di kalangan cikgu dan rakan sekolah, Shara fasih berbahasa Melayu dan membaca al-Quran.

Shara bercita-cita mahu menjadi doktor kerana ingin membantu golongan miskin susulan pengalaman dilaluinya sebagai anak Rohingya yang serba susah.

Bapanya yang mahu dikenali sebagai Harris, 29, berkata anaknya sering menangis kerana tidak dapat ke Tabika sejak dibuka kira-kira seminggu lalu.

"Dia masih budak. Tak faham apa yang sedang berlaku. Sering nangis nak ke sekolah jumpa cikgu.

"Semua budak lain (warga Malaysia) pergi ke sekolah tapi dia tidak dapat ke sekolah. Kami nak pujuk dia tak boleh.

“Dia juga tidak faham situasi warga Rohingya di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Tabika itu, KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung status anak warga asing di sekolah kerajaan.

Harris yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-banngsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) sejak 2018 tinggal di Ipoh, Perak.

Bapa kepada dua anak itu membuat pelbagai kerja tidak tetap seperti memotong rumput dan membersihkan longkang.

Dia berkata mempunyai masalah batu karang.

‘Sama seperti larangan ke masjid’

Harris berkata beliau dimaklumkan bahawa Shara tidak dapat hadir ke kelas oleh pihak sekolah pada 30 Jun, sehari sebelum ia dibuka kembali.

"Anak kamu tidak boleh datang ke sekolah.

“Ini prosedur kami sama seperti warga asing tidak boleh ke masjid dan surau untuk membuat sembahyang," menurut mesej itu yang dikongsi dengan Malaysiakini.

Semakan terhadap mendapati SOP sektor pendidikan dalam laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menyentuh berhubung status pelajar warga asing.

Sementara itu, Harris merayu kerajaan membenarkan Shara dan anak pelarian yang senasib dengan anaknya meneruskan pendirian mereka.

"Pendidikan adalah satu-satunya perkara yang akan membantu rakyat kami pada masa depan," katanya.

Lihat Komen
ADS