Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Enam kakitangan Al Jazeera selesai beri keterangan lepas lima jam

Enam kakitangan Al Jazeera yang dipanggil untuk disoal siasat di Bukit Aman hari ini dibebaskan selepas kira-kira lima jam diambil keterangan.

Mereka berjalan keluar dari ibu pejabat polis Bukit Aman sekitar jam 3 petang, diiringi oleh sepasukan peguam.

Difahamkan, seorang individu lain juga dipanggil untuk dirakam kenyataan mulai jam 3 petang tadi.

Siasatan itu berkaitan dengan dokumentari "East 101" yang dikatakan memberi gambaran kerajaan Malaysia menganiaya pendatang asing tanpa izin semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dokumentari berdurasi 25 minit itu mendapat kecaman dari kerajaan yang menyangkal tuduhan berkenaan dan menegaskan bahawa tindakan yang diambil dalam menangani pendatang tanpa izin adalah bersasarkan undang-undang.

Dalam respons segera, Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan rakan gabungannya dari Australia - Perikatan Media, Hiburan dan Kesenian (MEAA), mendesak pihak berkuasa menggugurkan kes terhadap Al Jazeera.

Menurut MEAA, lima daripada enam petugas media berkenaan adalah warga Australia.

Ia juga menyatakan bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia, dengan peringatan mengenai tanggungjawab Malaysia di bawah resolusi Perhimpunan Agung PBB 74/157 tentang "Keselamatan Wartawan".

"Malaysia, sebagai negara anggota PBB, harus melakukan yang terbaik untuk mencegah keganasan, ancaman dan serangan yang mensasarkan wartawan dan petugas media.

"MEAA meminta pihak berkuasa Malaysia untuk memenuhi kewajipan itu terhadap rakan sekerja kami," katanya.

Sementara itu, IFJ menyatakan kekesalannya atas apa yang disifatkannya sebagai cubaan pihak berkuasa Malaysia untuk menyalahgunakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi membungkam dan menakut-nakutkan wartawan.

"Terdapat pola yang ketara ketika krisis Covid-19, petugas media yang disasarkan di bawah Akta dan Kanun Keseksaan kerana hanya menjalankan tugas mereka.

"Adalah sangat penting bagi Malaysia semasa pandemik Covid-19 untuk mengutamakan hak masyarakat dalam mendapat maklumat dan agar media dapat melaporkan secara bebas dan adil tanpa ancaman penganiayaan," katanya.

Peguam untuk Al Jazeera Hisyam Teh Poh Teik pagi ini enggan mengesahkan jumlah anak guam yang diwakilinya atas alasan keselamatan.

Sejak dokumenter itu mendapat perhatian, maklumat peribadi kakitangan Al Jazeera disebarkan dalam talian, menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan terhadap mereka.

Selain kakitangan Al Jazeera, Jabatan Imigresen kini mengesan seorang migran yang diwawancara dalam dokumentari tersebut.

Lihat Komen
ADS