Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan M'kini - Mahkamah dengar kes menghina esok
Diterbitkan:  Jul 12, 2020 9:37 AM
Dikemaskini: 1:41 AM

Mahkamah Persekutuan akan mendengar prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini di Istana Kehakiman di Putrajaya esok, yang mungkin menyaksikan portal berita bebas itu didenda dan ketua pengarangnya Steven Gan dipenjara.

Pada 2 Julai lalu, panel tujuh hakim mahkamah itu menolak permohonan Malaysiakini, yang difaikan pemiliknya Mkini Dotcom, untuk mengenepikan perintah untuk memulakan prosiding, yang difailkan Peguam Negara Idris Harun.

Gan, yang mengasaskan Malaysiakini bersama-sama CEO Premesh Chandran pada 1999, berikrar portal berita itu akan melawan pendakwaan tersebut.

"Kita harapkan yang terbaik. Pada masa sama, kita bersedia untuk yang terburuk," katanya.

Idrus memulakan prosiding hina mahkamah terhadap lima komen pembaca dalam satu laporan Malaysiakini bertarikh 9 Jun, yang telah pun dipadam.

Idrus berkata komen tersebut antara lain "menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman".

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, yang mengetuai panel tujuh hakim yang menolak permohonan Malaysiakini sebelum ini, berkata Mkini Dotcot telah memudahkan penerbitan komen pembaca tersebut.

"Kami berpandangan (Malaysiakini) telah menerbitkan komen dan terdapat (kes) prima facie. Bukti menunjukkan editor (portal) menyemak posting (komen) setiap hari.

"Melihat sifat komen yang melibatkan badan kehakiman secara keseluruhan, kami berpendapat ini adalah mahkamah yang tepat untuk memulakan prosiding," katanya.

Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak agar tidak mengulas perkara itu - yang telah membuatkan pelbagai pertubuhan, dalam dan luar negara, menyuarakan kebimbangan terhadap implikasinya - sehinggalah hari pendengaran.

Komen menyinggung

Pada 2 Julai lalu, peguam Malaysiakini, Malik Imtiaz berhujah undang-undang tidak menghendaki organisasi berita melakukan pra penyederhanaan dan menapis komen yang ditinggalkan oleh pembaca di laman web mereka.

Membangkitkan kira-kira 2,000 komen di laman Malaysiakini setiap hari, beliau berkata Malaysiakini bergantung kepada pembacanya untuk menandakan komen yang menyinggung serta kemudian akan menjalani proses penyederhanaan.

Mengenai lima komen yang menjadi tajuk perbicaraan penghinaan mahkamah hari ini, Malik berkata defendan telah mengeluarkannya dalam masa beberapa minit setelah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai perkara itu.

Malik juga berhujah Malaysiakini tidak boleh bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat oleh pembaca dan peguam negara perlu membuktikan bahawa pihak responden sengaja menerbitkan komen-komen tersebut.

"Pihak responden tidak terlibat dalam posting komen. Dan responden juga tidak mengetahui (bahawa komen seumpama itu telah dibuat sehingga dimaklumkan)," kata Malik.

Premesh pula berkata Malaysia telah mendapat kebaikan daripada persekitaran media yang lebih rencam sepanjang 20 tahun lalu.

"Mereka yang berkuasa juga mendapat kebaikan, dengan media memainkan peranan utama mempertanggungjawabkan bekas perdana menteri untuk skandal 1MDB. Apa pun yang berlaki, Malaysiakini akan terus membuat laporan untuk kepentingan awam," katanya.

Beberapa organisasi turut menjadi pemerhati dalam perbicaraan, termasuk Majlis Peguam, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Keputusan boleh diputuskan segera selepas peguam selesai memberikan hujah.

Jika Malaysiakini dan Gan disabit bersalah, hukuman boleh diputuskan pada hari sama. Tiada had perundangan untuk hukuman bagi dakwaan menghina mahkamah. 

ADS