Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pertukaran speaker petanda besar PRU dalam masa terdekat'
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 5:26 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Pertukaran speaker Dewan Rakyat memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya umum (PRU) mengejut akan diadakan dalam masa terdekat, kata Pemuda PAS.

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata ia isyarat jelas daripada kerajaan Perikatan Nasonal (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Keputusan ini agak mengejutkan bagi Pemuda PAS kerana seolah-olah ia adalah isyarat yang cukup kuat dan petanda besar bahawa PRU akan berlaku dalam masa terdekat.

"Dengan keadaan undi belah bahagi yang memperlihatkan sokongan pengosongan jawatan speaker ini sebanyak 111 (menyokong) dan yang tidak menyokong sebanyak 109.

"Maka isyarat ini lebih kuat untuk memastikan pengukuhan kerajaan perlu dilakukan oleh mana-mana pihak dengan menyerahkan semula mandat pemilihan kerajaan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Khairil, Pemuda PAS menyokong pertukaran speaker jika ia dilihat untuk mengukuhkan lagi keputusan pihak kerajaan mengadakan PRU secepat yang boleh.

Kerajaan PN hari ini membentangkan usul supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya sebagai speaker.

Usul itu kemudian diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Keputusan itu membolehkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat baru menggantikan Mohamad Ariff.

Mengulas lanjut, Khairil berkata kredibiliti calon speaker baru ini terkenal dengan beberapa isu kontroversi berkaitan dengan isu Melayu dan Islam.

"Apabila dinaikkan menjadi speaker pastinya akan timbul beberapa persoalan, namun bagi Pemuda PAS, jika isyarat pembubaran Parlimen ini adalah benar, maka seluruh

jentera di semua peringkat perlu bersedia berhadapan dengan kemungkinan ini.

"Dalam keadaan rakyat dilihat berpihak kepada kerajaan yang telah membuktikan prestasi yang terbaik dalam menguruskan negara dalam tempoh tidak sampi empat bulan, berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lepas," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS