Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan soal boleh atau tidak sebut ‘barua’

Shahidan Kassim (PN-Arau) hari ini menuntut penjelasan daripada Timbalan Speaker Azalina Othman Said berhubung penggunaan perkataan “barua” di Dewan Rakyat.

Kata ahli parlimen Umno itu, sekiranya ia boleh digunakan, beliau ingin menggunakan perkataan tersebut sebanyak mungkin.

“Kelmarin Batu Kawan (Kasthuri Patto - PH) gunakan perkataan barua kepada speaker jadi saya nak tanya adakah barua boleh digunakan dengan wajarnya di Parlimen yang mulia ini?

“Kalau boleh saya akan gunakan perkataan barua dengan banyak pada hari ni. Jadi saya minta ruling sama ada barua tu parliamentary atau unparliamentary,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Azalina berkata beliau tidak membawa kamus dan tidak dapat menyemak maksud perkataan ‘barua.”

Beliau berpandangan perkataan tersebut membawa maksud yang tidak baik, sambil memberitahu Shahidan bahawa Speaker Azhar Azizan Harun akan membuat keputusan dan mengkaji berhubung beberapa perkara yang dilihat sensitif dalam parlimen seperti insiden antara Kasthuri dan Abdul Azeez Abdul Rahman (PN-Baling).

“Kalau yang berhormat kata perkataan ‘barua’, biarlah saya tengok hansard dan saya boleh buat keputusan dan bincang dengan speaker lepas ini.

“Tapi saya bagitahu tadi secara umum. Tapi saya tengok speaker nak bincang menyeluruh dalam Dewan ni sebab ada beberapa perkataan yang telah dicampak semalam dalam keadaan penuh kontroversi dan provokasi

“Jadi kita perlu kaji dan untuk berlaku adil, semua pihak kita perlu tengok pada hansard,” kata Azalina.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Abdul Azeez menggunakan perkataan “gelap,tak nampak” kepada Kasthuri apabila ahli parlimen DAP itu sedang mempersoalkan berkenaan kekurangan anggota parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan parlimen.

“Perkataan barua tu memang kurang sopan kita bercakap bahasa biasa pun.. Orang Kedah cakap memang dahsyat, memang tak bagus,” kata Shahidan kepada Azalina.

Namun, selepas mendengar penjelasan Azalina, Shahidan berkata perkataan tersebut boleh digunakan sewenang-wenangnya sementara keputusan speaker dibuat.

Bagaimanapun, Azalina yang juga ahli parlimen Pengerang tidak melayan kenyataan tersebut.

Terdahulu hari ini, selepas Abdul Azeez menarik semula kenyataannya dan memohon maaf, Shahidan turut mempersoalkan perkara yang sama ketika Azhar mempengerusikan Dewan.

Beliau juga bertanya sama ada beliau boleh menggunakan perkataan tersebut apabila Azhar memberi jawapan yang tidak menjawab soalannya.

“Jadi speaker benarkan gunakan perkataan barua? Okey, hari ni saya akan gunakan perkataan barua dengan hebatnya,” katanya.

Azhar menjawab: “Saya tak benarkan dan saya minta jangan gunakan lagi ayat sedemikian.”

Lihat Komen
ADS