Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumbangan 'saham akhirat' RM9j kepada Zahid cukup dengan akad, kata saksi

Sumbangan RM9 juta yang diberikan kepada Ahmad Zahid Hamidi untuk pembinaan masjid dibuat semata-mata saham akhirat, bukannya untuk tujuan lain.

Kata Mohd Jimmy Wong Abdullah yang merupakan pengarah bukan eksekutif MyEG, sumbangan RM9 juta yang diberikan melalui 14 draf permintaan dan satu cek jurubank antara Mei 2016 hingga Mac 2018 itu dibuat bagi membiayai pembinaan dua buah masjid.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Mohd Jimmy bahkan mengakui dia tidak meminta pelepasan cukai pendapatan memandangkan sumbangan itu dibuat demi “saham akhirat”.

Harris: Adakah ada dapatkan resti setiap kali bagi sumbangan?

Mohd Jimmy: Tak. Memadai secara akad.

Harris: Ada minta pelepasan cukai pendapatan?

Mohd Jimmy: Tak. Seikhlas hati. Untuk saham akhirat untuk kita.

Mohd Jimmy ialah saksi ke-78 pendakwaan dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-26 hari ini.

Ketika disoal balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh, Mohd Jimmy menjelaskan dia memang melakukan akad bersama Ahmad Zahid setiap kali membuat sumbangan berkenaan.

Malah, kerana telah membuat akad berkenaan, katanya, dia berasakan resit, invois atau sebarang bukti pembayaran tidak lagi diperlukan kerana perkara tersebut dinyatakan dalam lafaz akad.

Akad merupakan lafaz persetujuan urusan - seperti dalam jual beli, sedekah atau nikah - melibatkan pihak-pihak di dalam urusan berkenaan.

Memang percaya dan yakin

Dalam pernyataan saksinya, Mohd Jimmy berkata, pada hujung 2015, Ahmad Zahid ada bertanya sama ada dia berminat memberikan sumbangan membina dua masjid di Melaka dan di Country Heights.

“Saya hanya menjawab tidak mampu namun jika sebanyak RM10 juta mungkin saya mampu. Ahmad Zahid memberitahu bahawa sumbangan yang ingin saya buat boleh saya salurkan ke atas yayasan," katanya tanpa menyebut nama yayasan berkenaan.

Namun jelasnya, Ahmad Zahid memintanya untuk tidak memberi sumbangan secara tunai sebaliknya dimasukkan ke “akaun firma guaman yayasan berkenaan”, iaitu Lewis & Co.

Mohd Jimmy juga memaklumkan akan memberikan sumbangan itu secara berperingkat-peringkat.

Dia kemudian memaklumkan kepada ketua pegawai kewangan MyEG, Chong Chien Ming, mengenai niatnya membuat bayaran pendahuluan kira-kira RM10 juta yang akan dibayar semula hasil komisen pendapatan sampingannya iaitu meperkenalkan majikan kepada pekerja asing.

Pada 15 Jun lalu, 14 transaksi draf permintaan bernilai RM8.4 juta disahkan oleh pegawai bank dari akaun MyEG kepada akaun Lewis & Co, manakala satu lagi transaksi cek jurubank berjumlah RM600,000 disahkan dari akaun Chong. 

Semasa pemeriksaan utama juga, Mohd Jimmy turut menjelaskan kepada Harris bahawa sumbangan dibuat kepada Lewis & Co atas arahan Ahmad Zahid sendiri, namun tidak pernah menyiasat mengenai firma guaman itu atas dasar kepercayaan terhadap Ahmad Zahid.

Sedangkan dia sendiri, katanya, tidak pernah berurusan secara langsung dengan Lewis & Co.

“Personaliti Ahmad Zahid, saya kenal beliau banyak solat, bantu (bina) masjid, anak yatim, dan hal-hal keagamaan banyak dia buat. Saya percaya (sumbangan digunakan) ke arah tuntutan Islam, fi sabilillah,” katanya.

Ketika ditekan beberapa kali dalam pemeriksaan semula oleh Harris tentang bagaimana dia boleh menaruh keyakinan bahawa sumbangannya itu memang digunakan untuk pembinaan masjid, Mohd Jimmy sekali lagi mempertahankan keyakinannya.

“Saya tak dapat jawab secara spesifik. Sebab kita manusia dengan manusia ini, hubungan persahabatan, keyakinan adalah antara kita berdua. Saya memang percaya dan yakin terhadap Ahmad Zahid.

“Kalau tanya macam mana saya boleh yakin (sebegitu rupa), ini saya tak boleh jawab,” katanya.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung 27 Julai depan. 

Lihat Komen
ADS