Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agaknya Najib bimbang Dr M calonkan nama saya, kata Shafie

Mohd Shafie Apdal berpendapat beliau menjadi sasaran serangan Najib Razak apabila bekas perdana menteri itu membocorkan beberapa surat berkaitan projek kerajaan suatu masa dulu.

Ketika itu Mohd Shafie masih menjadi sebahagian daripada anggota kabinet Najib dan kedua-dua mereka bersama dalam satu parti - Umno.

Ditanya mengenai hal itu Mohd Shafie berkata beliau percaya tindakan berkenaan diambil Najib selepas namanya disebut sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang.

"Agaknya dia bimbang apabila Dr Mahathir (Mohamad) menyebut nama saya sebagai calon perdana menteri kesembilan. Hal sebegitu tidak pernah berlaku (sebelum ini).

"Hanya apabila isu ini timbul, saya menjadi sasaran (Najib) untuk perkara seperti ini," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara baru-baru ini.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Najib untuk mendapatkan komen beliau mengenai dakwaan Mohd Shafie.

Terdahulu Najib mendakwa Mohd Shafie - ketika itu menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah - selalu menolak proses tender terbuka.

Bekas presiden Umno berkenaan juga mendakwa Mohd Shafie sering merayu kepadanya agar memberikan tender kerajaan melalui proses pemilihan terus.

Hanya perlukan surat rayuan

Hal itu dinyatakan Najib melalui Facebook pada Sabtu lalu. Dipaparkan melalui hantaran berkenaan ialah dua surat yang ditujukan kepada Najib dan ditandatangani Mohd Shafie.

Kedua-dua surat itu bertarikh pada 2013 dan dibuat mengenai dua projek pembinaan jalan di Johor dan Sabah.

Agak keberatan membincangkan hal itu pada awalnya, Mohd Shafie berkata, beliau juga menyimpan salinan surat yang ditandatangani Najib sebelum ini.

Namun kata ketua menteri Sabah berkenaan, beliau enggan mengambil pendekatan sama seperti dilakukan Najib.

Kata beliau Najib juga terbabit sama dalam amalan sedemikian.

"Dulu pernah, apabila ada tender terbuka, mereka (yang gagal dalam bidaan) berkata mahu merayu. Dan mereka berjumpa Najib juga.

"Selepas berjumpa Najib mereka sampaikan pesan kepada saya bahawa Najib bersetuju. Mereka hanya perlukan surat rayuan," katanya.

Menegaskan hal itu tidak menyalahi undang-undang presiden Warisan berkenaan menambah Najib juga pernah menandatangani persetujuan pada rayuan berkaitan kontrak kerajaan sebelum ini.

"Mereka tidak sepatutnya mendakwa sekarang saya melakukan hal ini dan rayuan tersebut. Saya ada salinan surat-surat itu juga.

"Tapi saya tak mau (dedahkan surat seperti yang dilakukan Najib). Tak apalah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS