Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang pemimpin NGO Hindu menggesa SPRM menyatakan status terkini kes melibatkan seorang “Tan Sri” yang ditahan berhubung pembangunan sebidang tanah milik Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Penasihat Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy berkata kes ini tidak nampak sebarang perkembangan atau pertuduhan di mahkamah.

"Sudah lebih 500 hari sejak 'Tan Sri' dan anaknya ditahan oleh SPRM. Tapi, masih tiada sebarang perkembangan.

"Adakah mereka dibebaskan? Atau kes ini diklasifikasi sebagai NFA (tiada tindakan lanjutan)?

“Kami mewakili penganut Hindu di Malaysia ingin tahu status terkini kes ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua SPRM Azam Baki untuk mendapatkan penjelasan.

Pada 5 Mac, SPRM menahan seorang individu bergelar “Tan Sri” dan anaknya serta seorang anggota jawatankuasa kuil Sri Mahamariamman Devasthanam bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah milik tersebut.

Penahanan itu dibuat selepas serbuan dilakukan oleh suruhanjaya itu di kediaman individu berkenaan.

Serbuan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan perjanjian mengenai tanah.

Mahariamman Devasthanam merupakan sebuah jawatankuasa turut mentadbir Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves dan Kuil Kortumalai Pillaiyar di Pudu, Kuala Lumpur.

‘Terdapat tangan ghaib’

Terdahulu, Arun menyerahkan satu memorandum kepada SPRM meminta agensi tersebut untuk mendedahkan perkembangan terkini kes tersebut.

Turut hadir, aktivis sosial Siti Kasim.

"Hari ini kami tidak dapat jumpa pegawai penyiasat kes ini walaupun, saya semalam (hantar pesanan) teks pegawai tersebut untuk memberitahu kehadiran kami.

"Memorandum diserahkan kepada seorang pegawai dikenali En Anuar dari Bahagian Operasi Khas. Kami harap SPRM akan memberi penjelasan secepat mungkin.

"Ini kerana, sejak hari pertama terdapat 'tangan ghaib' cuba menutupkan kes ini.

"Malah, saya ada bukti kukuh seorang bekas pegawai tertinggi SPRM memberitahu saya bahawa ada tangan ghaib dari SPRM sendiri cuba membantu 'Tan Sri'," katanya.

Lihat Komen
ADS