mk-logo
Berita
Umno, PAS tolak rancangan Zuraida adakan pilihan raya tempatan
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 6:40 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

PAS tidak akan teragak-agak untuk menentang percubaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bagi melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT), kata Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam.

Menurutnya, meskipun PAS adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini, namun mereka membantah pilihan raya PBT yang dilihat menjadi titik permulaan kepada perpecahan kaum di negara ini.

“Pemuda PAS menegaskan bahawa jika ia (pilihan raya PBT) dilaksanakan, kami tidak teragak-agak untuk menentangnya sekaligus memastikan usaha ini tidak akan dilaksanakan walaupun PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pada hari ini.

“Kita yakin penentangan yang dilakukan oleh pemuda PAS adalah selari dengan apa yang telah ditetapkan di peringkat PAS Pusat untuk memastikan pilihan raya PBT ini bukanlah satu pilihan yang perlu didahulukan sehingga kita benar-benar yakin masalah jurang antara kaum sama ada daripada sudut ekonomi, gaya hidup dan sosial dapat ditangani dan usaha memupuk perpaduan yang lebih padu di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khairil, Pemuda PAS yakin dengan desakan untuk tidak melaksanakan pilihan raya PBT, pihak kerajaan pastinya ada jalan lain untuk memastikan pengurusan pentadbiran di bandar lebih tersusun.

Katanya, dengan melihat sentimen dan respon rakyat terhadap kecekapan kerajaan Perikatan Nasional hari ini, PAS yakin pilihan raya PBT bukanlah agenda utama yang perlu didahulukan.

“Malah agenda memastikan rakyat terus berada dalam kehidupan yang lebih harmoni dan mempunyai kuasa dalam ekonomi adalah menjadi keutamaan yang perlu difikirkan oleh pihak kementerian.

“Maka dengan tegas pemuda PAS menolak penuh usaha untuk melaksanakan pilihan raya PBT ini,” katanya.

Sementara itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Noh Omar (Umno- Tanjung Karang) berkata bahawa Umno Selangor juga menolak sebarang percubaan Zuraida bagi melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Noh yang adalah pengerusi Umno Selangor menjelaskan bahawa cadangan pilihan raya PBT itu merupakan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan bukannya lahir dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya nak tegaskan dalam dewan ini bahawa PAS dan Umno Selangor tolak pilihan raya (kerajaan) tempatan ini.

“Ini siapa punya manifesto. Ini manifesto PH, DAP ke siapa saya tidak tahu lah,” katanya semasa semasa perbahasan hari ini.

Katanya, beliau lebih sedih lagi apabila menteri berkenaan memaklumkan bahawa Selangor dan Pulau Pinang akan dijadikan sebagai perintis pilihan raya tempatan itu.

Pada ketika itu, Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) serta Alexander Nanta Linggi (GPS- Kapit) turut menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan tersebut.

Semalam Zuraida dilaporkan berkata sewaktu di dalam kerajaan PH, tiada sesiapa dalam gabungan itu yang menyokong cadangannya berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Zuraida yang ketika itu memegang portfolio yang sama malah berkata ideanya itu disanggah oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas kenyataan itu, Noh berkata, Zuraida sepatutnya membatalkan sahaja cadangan berkenaan dan bukannya melakukan kajian berkenaan pilihan raya kerajaan tempatan yang akan dibentangkan dalam kabinet menjelang pertengahan tahun 2021.

“Menteri KPKT semalam pun kata Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) tak setuju, jadi kalau PM PH dulu pun tak setuju kenapa YB nak bawa lagi.

“Tolonglah menteri KPKT sebutlah pengumuman bahawa kerajaan PN berhasrat membatalkan pilihan raya PBT ini.

“Tolong supaya kita tenang dekat bawah ini,” katanya tetapi Zuraida tidak berada di dewan ketika itu.

Sementara itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) tampil mencelah dan mempersoalkan bantahan Noh dan kesediaan pihaknya untuk menarik diri dari kerajaan PN sekiranya pihak KPKT masih meneruskan rancangan tersebut.

Noh kemudian menjawab bahawa ini bukan soal tarik diri, tetapi hasrat pihaknya.

“Bukan tarik diri, ini hasrat kita. Saya harap menteri pun boleh faham bahawa ini cadangan dari PH, Sekarang kerajaan PN. Tiada manifesto,” katanya.

Kali terakhir pilihan raya PBT diadakan adalah pada tahun 1965. Ia diadakan dengan tujuan menentukan siapa yang akan menguruskan urusan polisi dan juga pentadbiran di peringkat bandar di Malaysia.

Lihat Komen
ADS