Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papan iklan 'Raja Afrika': Universiti Limkokwing diberi surat tunjuk sebab
Diterbitkan:  Jul 16, 2020 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) bagi menuntut penjelasan berikutan kontroversi papan iklan "Raja Afrika.”

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mengatakan bahawa kementerian sedang menyiasat universiti walaupun pihak universiti telah memohon maaf atas perkara tersebut.

LUCT, dinamakan sempena pengasasnya Lim Kok Wing, dihujani kritikan Jun lalu setelah bekas pelajar dan kakitangannya mendakwa di sosial media yang universiti itu menunjukkan sikap perkauman menerusi papan iklan itu yang dipaparkan di kampus Cyerbajaya.

“Kementerian mengambil maklum dan memandang serius berhubung tuduhan perkauman terhadap pengurusan LUCT yang tular di laman sosial.

“KPT telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak LUCT,” kata Noraini dalam jawapan bertulis Parlimen semalam.

Noraini Ahmad

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dari Ong Kian Ming (PH-Bangi) berkenaan sama ada kementerian akan menyiasat tuduhan perkauman yang serius terhadap pelajar dan kakitangan dari Afrika di LUCT.

Ong juga bertanya apakah tindakan yang akan diambil untuk melindungi ‘reputasi’ sektor pendidikan tinggi di Malaysia.

“Walaupun pihak LUCT telah membuat permohonan maaf, namun pihak Kementerian masih meneruskan siasatan bagi memastikan nama dan imej negara sentiasa terjamin.

“Kementerian tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan perkauman dan akan memastikan semua aduan berkaitan perkara ini diselesaikan,” kata Noraini.

Menurut Seksyen 89 (1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), keanggotaan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta hendaklah dibuka kepada semua orang tanpa mengira jantina, kaum, agama, bangsa atau kelas.

“Pihak kementerian boleh mengenakan tindakan yang tegas ke atas mana-mana pihak termasuk pengurusan IPTS yang didapati bersalah dalam isu bersifat perkauman dan seumpamanya,” katanya.

Katanya lgi, IPTS memainkan peranan dalam membantu negara mempromosikan pendidikan tinggi swasta dengan menonjolkan jenama dan imej negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, jurucakap LUCT dilaporkan berkata bahawa papan iklan itu bukan sebahagian daripada projek atau inisiatif formal universiti.

Papan iklan itu memaparkan tulisan “King “of Arfican” (Raja Afrika) dan mempunyai ilustrasi Lim bersama seekor cheetah, yang dipercaya di Sierra Leone, di samping gambarnya berdiri di tengah-tengah kerumunan pelajar Afrika.

Rasa tidak puas hati terhadap papan iklan itu sebahagiannya mempunyai kaitan dengan kesedaran yang kian meningkat mengenai isu berkaitan kaum, berikutan tunjuk perasaan Black Lives Matter yang diadakan di Amerika Syarikat selepas rakyat AS, George Floyd mati ketika ditahan polis. 

Lihat Komen
ADS