Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO berhimpun untuk ingati kematian dalam tahanan

Kelopak bunga yang dibuang di Sungai Klang yang keruh merupakan simbolik memperingati kematian Teoh Beoh Hock dan R Gunagesaran pada 16 Julai 2009, serta kematian tahanan lain sebelum ini.

Pengarah eksekutif NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), Khalid Mohd Ismath bagi pihak penganjur Black Thursday berkata, acara itu merupakan simbol solidariti bukan sahaja dengan mangsa, malah keluarga mereka yang mencari keadilan.

"Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa kes-kes ini tidak seharusnya terjadi lagi," kata Khalid.

Selama kira-kira satu jam, di bawah pengawasan ketat anggota polis yang berpakaian seragam dan preman, sekumpulan sekitar 20 aktivis dan penyokong mengulangi tuntutan mereka yang antaranya meliputi pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Pengerusi Edict, M Visvanathan mengingatkan rakyat Malaysia yang prihatin bahawa di tengah-tengah kemarahan masyarakat dunia berhubung pembunuhan lelaki kulit hitam George Floyd oleh anggota polis di Amerika Syarikat, insiden serupa yang didakwa melibatkan pihak berkuasa tempatan telah dibungkam di Malaysia.

"Jangan hanya marah ketika George Floyd mati di Amerika, tetapi ketika kematian serupa terjadi di sini, kita tidak mempunyai reaksi yang sama.

"Selagi rakyat Malaysia tidak bangun, tidak menyedari bahawa kematian dalam tahanan tidak seharusnya berlaku, itu akan terus berlaku," tegas peguam yang terlibat dalam mewakili keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam tahanan, termasuk Gunasegaran.

Gunasegaran berusia 31 tahun ketika dia ditangkap atas tuduhan berkaitan dadah, rebah ketika diambil cap jari antara jam 6.45 petang dan 7 malam ketika berada dalam tahanan polis dan dinyatakan meninggal dunia pada pukul 7.40 malam pada 16 Julai 2009 di Hospital Kuala Lumpur.

Polis mengatakan dalam penemuan rasminya bahawa Gunasegaran mati kerana penyalahgunaan dadah.

Selain polis, Visvanathan menyatakan bahawa kematian dalam insiden tahanan juga direkod di penjara dan pusat tahanan Imigresen, dan perhatian serupa harus diberikan untuk memberikan keadilan bagi anggota keluarga mereka.

Antara kes kematian dalam tahanan imigesen baru-baru ini termasuk pelancong India Zeawdeen Kadar Masdar yang ditangkap dalam serbuan 1 Mei di Masjid India, yang pada masa itu diletak bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) berikutan wabak Covid-19 di kalangan pekerja asing.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Roger Chan  berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang mengesyorkan pembentukan IPCMC sebagai sebahagian daripada pembaharuan institusi polis telah ditetapkan pada Mei 2006 sebagai tarikh akhir pelaksanaannya.

"Tetapi sekarang 14 tahun kemudian dan kita masih membincangkannya," katanya.

Beliau juga berkata kepolisian yang berkesan dan hak asasi manusia harus berjalan seiring, dan tidak bertentangan antara satu sama lain.

"Mereka saling memperkuat. Dalam masyarakat yang bertamadun, kepolisian dan hak asasi manusia yang baik berjalan seiring," tambahnya.

Turut berucap ialah perunding penyelidikan Amnesty Malaysia Bryan Yap, ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan dan jurucakap Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged), Rama Ramanathan.

Awal hari ini, dilaporkan polis mengatakan perhimpunan tersebut melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Surat dari Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah kepada Edict menyatakan bahawa permohonannya untuk berkumpul hari ini tidak lengkap kerana gagal mendapatkan persetujuan pemilik atau penghuni tempat perhimpunan, seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis yang bertugas hari ini bagaimanapun membenarkan perhimpunan itu berjalan dan kumpulan itu bersurai sekitar jam 7.30 malam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS