Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
China kekal berada di Beting Patinggi Ali - Data

Kapal pengawal pantai China (CCG) mengekalkan keberadaannya secara berterusan di perairan yang dituntut Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali atau disebutnya sebagai Luconia Shoals pada tahun ini.

Ini berdasarkan data yang diperoleh Malaysiakini dari perkhidmatan pengesan MarrineTraffic, berdasarkan pemantauan satelit siaran Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dari kapal.

Ini menunjukkan bahawa kapal CCG telah melakukan rondaan di perairan itu selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, yang mana Malaysia mengaku sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusifnya.

China mendakwa memiliki "hak bersejarah" di Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali, yang tidak diakui di peringkat antarabangsa.

Menurut data MarineTraffic, kapal CCG 5202 kini berada di kawasan itu dan telah melakukan rondaan di sana sejak 7 Julai.

Kehadiran kapal CCG 5203 dikesan dari 23 Disember tahun lalu hingga 13 Jan tahun ini; 16 Jan hingga 1 Februari; 6 Februari hingga 17 Februari, dan 2 April hingga 23 Mei.

Kapal CCG 5204, sementara itu, dikesan dari 17 Februari hingga 2 April dan dari 22 Mei hingga 7 Julai.

Set data tersebut juga menunjukkan kapal CCG hanya direkodkan sebagai "Pengawal Pantai China". Ia dikesan berhampiran Luconia Shoals dari 13 Jan hingga 16 Jan.

Berdasarkan set data, tempoh antara 2 Februari dan 5 Februari adalah satu-satunya tempoh tahun ini di mana tiada kapal CCG di Beting Patinggi Ali.

Terdahulu, Jabatan Audit Negara mengatakan CCG dan Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019, terutama di Beting Patinggi Ali.

Dikatakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah bertindak balas dengan mengusir penceroboh dan menuntut Kementerian Luar mengambil tindakan, mengkibatkan enam nota protes diplomatik terhadap China.

Ia mengatakan bahawa pemerintah China telah berulang kali mengabaikan protes Malaysia mengenai perkara itu, dan ketika TLDM mempertahankan perairan tersebut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia harus mengekalkan keberadaan jangka panjang di kawasan itu.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dilapor mengatakan bahawa kapal China tidak dilihat berada di perairan Malaysia selama 100 hari beliau memegang jawatan itu.

“Ini antara pihak kita dan pemimpin China, pendirian saya jelas, kita tidak akan kompromi dengan kedaulatan kita,” katanya.

Bagaimanapun beliau kemudian menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada kejadian khusus yang melibatkan kapal yang mempunyai kontrak dengan Petronas, West Capella.

Reuters melaporkan pertembungan berlaku di antara West Capella dan kapal peninjau China, Haiyang Dizhi 8, menyebabkan Tentera Laut Amerika Syarikat mengerahkan kapal perangnya sebagai respons 'untuk mempromosi kebebasan pelayaran dan penerbangan'.

Malaysia menyangkal konfrontasi telah terjadi, sementara China mengatakan Haiyang Dizhi 8 hanya melakukan "kegiatan normal di perairan yang di bawah bidang kuasa China".

Haiyang Dizhi 8 akhirnya meninggalkan kawasan itu pada 15 Mei, setelah pemiliknya mengatakan kapal itu telah menyelesaikan tinjauan di kawasan dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia. 

Ia dilaporkan dikawal oleh sekurang-kurangnya dua kapal China.

“Saya bercakap dalam konteks reaksi kepada aktiviti West Capella di mana kapal peninjau (survey vessel) bersama kapal pegawai pantai China yang hadir pada Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dari April hingga Mei.

“Ini diuruskan ketika 100 hari saya dalam kementerian dan kapal tersebut meninggalkan EEZ selepas usaha diplomatik secara intensif,” kata Hishammuddin tentang kejadian itu semalam.

Lihat Komen
ADS