Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Secara peribadi PM harap kerajaan iktiraf UEC, dakwa Huazong
Diterbitkan:  Jul 17, 2020 11:48 PM
Dikemaskini: 3:49 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dakwa Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong).

Menurut pertubuhan itu Muhyiddin menyatakan harapan tersebut semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan parlimen semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Huazong berkata Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.

Bagaimanapun, kata Huazong, perdana menteri meminta semua pihak agar memahami dasar dan keadaan dalam negara.

Dalam pertemuan itu, kata Huazong, perdana menteri mencadangkan agar kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil Cina dapat menggunakan dasar-dasar negara serta keadaan semasa sebagai asas untuk rundingan lanjut dan ia akan menghasilkan penyelesaian menang-menang untuk semua pihak.

Dalam kenyataan sama, Huazong berkata, Muhyiddin menyatakan harapan agar isu berkenaan dapat "dikendurkan" dan ditangani secara rasional.

Ia memetik Muhyiddin sebagai berkata: "Jika mungkin, saya juga berharap kerajaan pada akhirnya akan mengiktiraf UEC."

Undang kritikan warganet

Berdasarkan kepada kenyataan Huazong rombongan mereka diketuai pengerusinya, Goh Tian Chuan, dan mereka mengadakan perbincangan bersama Muhyiddin berkaitan isu-isu negara termasuk yang membabitkan masyarakat Cina Malaysia.

Satu daripadanya ialah tuntutan yang dibuat sejak lama dulu iaitu agar kerajaan mengiktiraf UEC.

Menurut kenyataan berkenaan, Muhyiddin secara berseloroh berkata bahawa isu UEC adalah "mencabar" untuk ditangani tetapi disebabkan ia sudah wuud, kerajaan akan terus mengkaji dan membincangkan cara bagi menguruskannya.

Semasa menjadi menteri pendidikan pada era kerajaan BN, Muhyiddin didakwa pernah memberitahu sikap tegas Persatuan Guru Sekolah-sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong) dan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) dalam isu UEC menyukarkan kerajaan untuk menangani isu tersebut.

Dalam pertemuan itu Muhyiddin memberitahu, persetujuan hanya dapat dicapai melalui semangat kolaboratif yang mengambil kira dasar dan keadaan Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, Goh menyatakan sokongan penuh Huazong kepada pendekatan Muhyiddin untuk menyelesaikan kebuntuan terhadap pengiktirafan UEC, dan bersedia bekerjasama dengan pemerintah dalam isu tersebut.

Dalam pertemuan berkenaan, kata Huazong, mereka menghadiahkan cenderahati memaparkan kaligrafi Cina bertulis Malaysia Prihatin, iaitu tema sambutan Hari Kebangsaan 2020.

Detik itu dimuat naik di Facebook Muhyiddin dan mengundang kritikan daripada warganet yang mendakwa Huazong tidak menghormati bahasa kebangsaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS