Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hak besar datang dengan tanggungjawab besar'
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 3:54 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Perbahasan Dewan Rakyat hari ini menyentuh isu sensitif apabila Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menekankan berkenaan "Tanah Melayu" dan hak istimewa bumiputera sementara Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) menegaskan bahawa hak-hak tersebut datang dengan tanggungjawab untuk menjadi teladan yang baik.

Tajuddin, ketika berbahas mewakili pihak kerajaan menegaskan bahawa meskipun hak orang bukan Melayu harus dilindungi, setiap orang harus mengakui bahawa mereka tinggal di "Tanah Melayu" dan bumiputera mempunyai hak istimewa.

"Suka tidak suka orang Malaysia atau orang datang dari luar ke negara ketika ini kena terima bahawa ini Tanah Melayu dan Melayu merupakan rakyat penduduk asal negara kita ini.

"Orang Melayu merupakan pribumi negara kita ini yang mempunyai hak-haknya dan hak keistimewaan tertentu yang mesti dipertahankan oleh kerajaan dan kita semua.

"Bagi masyarakat bukan Melayu, mereka juga merupakan rakyat negara kita ini. Kita juga harus terima hakikat dan terima hak-hak mereka sebagai rakyat negara ini. Tetapi ada perbezaan antara hak-hak pribumi dan bukan pribumi," katanya ketika berbahas.

Maszlee kemudian mencelah dan mengakui hujah Tajuddin tetapi menegaskan bahawa hak-hak tersebut juga datang dengan tanggungjawab yang besar.

"Saya ingin bertanya kepada Pasir Salak (Tajuddin), setujukah dengan hak besar itu datang juga tanggungjawab besar untuk jadi contoh kepada orang lain, tidak berlaku zalim, rasuah, kleptokrasi, salah laku demi bukan saja menjadi orang yang mempunyai hak tapi orang jadi contoh dan teladan kepada bangsa yang lain," katanya.

Tajuddin kemudian menjawab bahawa "orang yang mengambil haknya sendiri" tidak seharusnya dianggap zalim.

"Orang yang ambil haknya kenapa pula dianggap zalim? Kecuali dia ambil hak orang lain.

"Jangan timbul persoalan apabila orang Melayu pertahan hak dan keistimewaannya maka orang itu (dianggap) berlaku zalim kepada kaum lain. Itu tak betul. Saya sebut tadi kita pertahankan hak orang lain juga. Tak ada masalah," katanya.

Namun, Maszlee menjelaskan bahawa itu bukan maksudnya dan mengulangi pertanyaannya apakah Tajuddin bersetuju mengenai perlunya menunjukkan teladan yang baik dengan tidak "zalim, mencuri dan merompak".

Tajuddin menjawab dengan mengatakan bahawa perkara-perkara seperti itu berlaku di mana-mana sahaja.

"Kes- kes sebegitu berlaku di mana sahaja. Di kalangan Melayu ada, bukan Melayu pun ada. Di kalangan kulit orang putih pun ada, Afrika pun ada.

"Itu bukan jadi perkara yang boleh kita nak timbul masalah di kalangan orang Melayu," jelas Tajuddin.

Selepas kekalahan Umno dalam pilihan raya umum 2018, Tajuddin antara wakil rakyat yang terus mengetengahkan isu Melayu termasuk menganjurkan perhimpunan kebangkitan Melayu.

Namun, beliau juga mengkritik skandal 1MDB, yang dianggap sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan Umno dan BN dalam pilihan raya.

Lihat Komen
ADS