Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas AG Indonesia dakwa Apandi cadang pembebasan pesalah rasuahnya

Bekas peguam negara Apandi Ali didakwa mempunyai peranan dalam usaha membebaskan orang dikehendaki Indonesia atas dakwaan rasuah Djoko Tjandra, yang dikatakan berada di Malaysia.

Perkara itu timbul dalam rancangan bual bicara popular di negara itu Mata Najwa malam tadi yang dihoskan oleh personaliti media Najwa Shihab.

Ketika menjawab soalan Najwa, bekas peguam negara Indonesia HM Prasetyo mendakwa Apandi mencadangkan pengguguran sabitan pada 2009 terhadap ahli perniagaan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Apandi berkata: “Saya tiada komen, saya enggan ulas.”

Ditanya sama ada beliau telah menjawab dakwaan itu sebelum ini, Apandi berkata beliau tidak akan menjawab soalan Malaysiakini.

Sementara itu, Prasetyo mendakwa Apandi (bawah) membuat dakwaan itu dalam pertemuan ketika menghadiri Kongres Peguam-peguam Negara Asean-China di Nanning, China pada 2016.

 “Saya ingat betul. Jadi memang ketika itu, di tengah-tengah acara itu, kita dekat sesama peguam negara Asean dan Cina, hubungan kami sangat dekat.

“Kerana kerjasama kami juga terjalin terus, kawan kita ini peguam negara Malaysia, namanya Apandi Ali, dia sempat bicara dengan saya,” katanya.

Anita Kolopaking, peguam Djoko yang turut hadir dalam rancangan itu, mendedahkan bahawa anak guamnya tinggal di Kuala Lumpur.

Djoko pertama kali dilaporkan dalam media Malaysia pada Mei 2015.

Dia dikaitkan dengan rancangan pembangunan projek 1MDB, Tun Razak Exchange (TRX), melalui pemaju Indonesia Mulia Group dan anak syarikatnya di negara ini.

Polis Antarabangsa (Interpol) menyenaraikannya sebagai orang dikehendaki kerana dilaporkan meninggalkan Indonesia sehari sebelum mahkamah agung negara itu menjatuhi hukuman dua tahun penjara dan denda 15 juta rupiah (RM4,300).

Ketika itu, Mulia Group berkata, Djoko tidak mempunyai sebarang kedudukan atau saham dalam kumpulannya.

Bagaimanapun, selepas itu, terdapat penjelasan bahawa pelaburan berkaitan 1MDB itu digerakkan oleh Eka Tjandranegara, presiden-pengarah kumpulan dan pemilik, yang juga abang Djoko.

Dalam bual bicara malam tadi, Prasetyo mendedahkan dakwaan perbualannnya dengan Apandi.

Katanya, beliau menolak cadangan dikemukakan padannya.

"Pak jaksa agung (peguam negara), saya punya kawan,” kata Prasetyo yang memetik Apandi.

“Bagaimana kalau Djoko Tjandra bisa pulang ke Indonesia tapi sebagai orang bebas?”

Prasetyo berkata beliau menjawab “sampai sekarang pun kami nyatakan dia itu pelarian”.

“Kalau sekarang dia di tempat anda, perintahkan dia untuk pulang ke Indonesia. Saya akan memperlakukan dia dengan baik.”

Akhbar Indonesia Jakarta Post semalam melaporkan Djoko tidak hadir dalam pendengaran prosiding semakan kes yang difailkanya terhadap sabitan pada 2009.

Dia memohon pendengaran itu diadakan secara maya kerana dia menetap di Kuala Lumpur.

Peguamnya Andi Putra Kusuma dilaporkan membacakan surat ditandatangani Djoko di Kuala Lumpur pada 17 Julai, yang menyebut berkaitan masalah kesihatan dan kenapa dia tidak dapat hadir ke mahkamah.

Kehadiran Djoko ke Indonesia tanpa dikesan untuk memfailkan semakan itu telah mencetuskan kemarahan ramai di negara itu.

Dia juga dilaporkan berjaya mendapat kad pengenalan elektronik baru Indonesia ketiak notis merah Interpol ditarik balik.

Media Indonesia melaporkan tiga pegawai kanan polis telah dipecat kerana didakwa membantu Djoko.

ADS